Belajar perubatan di Asia Barat lebih mudah
SAYA sangat menghargai hasrat kerajaan untuk mempertingkat bilangan doktor di negara ini sehingga kepada nisbah seorang doktor mengendalikan 500 pesakit atau 1:500.
Apa yang saya musykilkan ialah syarat kelayakan pelajar untuk mengikuti program perubatan di negara ini terlalu ketat dan tinggi. Bagi peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar perlu mendapat gred A dalam empat mata pelajaran sains dan gred A juga dalam subjek Bahasa Inggeris barulah pelajar itu dipilih mengikuti program matrikulasi perubatan.
Dalam program matrikulasi, pelajar perlu pula mendapat gred purata sekurang-kurangnya 3.7 CGPA barulah pelajar berkenaan dipilih ke program ijazah perubatan. Tidakkah ini membebankan pelajar? Beberapa tahun dulu, saya dapati sesetengah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terus menawarkan program peringkat ijazah bagi pelajar yang cemerlang dalam SPM. Mengapa program seperti itu tidak lagi ditawarkan kepada pelajar sedangkan sesetengah negara luar seperti Asia Barat, Russia, pelajar kita belajar di sana masih meneruskan lagi program sedemikian.
Universiti di Asia Barat yang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia seperti Universiti Tanta, Universiti Mansoura, Universiti Iskandariah dan beberapa universiti lagi yang menjadi tumpuan pelajar tajaan Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mensyaratkan kepada pelajar yang berminat mengikuti program perubatan perlu mendapat gred sekurang-kurangnya 3B dalam subjek sains pada peringkat SPM.
Kesannya ramai pelajar Malaysia yang berminat menjadi doktor belajar di Asia Barat. Ada sesetengah pelajar menggunakan keputusan percubaan peperiksaan SPM 2008 pun diterima belajar di sana. Mereka sudah pun hampir mengakhiri tahun pertama ijazah perubatan. Menurut pelajar yang belajar di universiti, mereka tidak berdepan dengan tekanan dalam mengikuti pengajian mereka kerana kurikulum pengajian perubatan di universiti berkenaan hampir sama dengan apa yang ada di IPTA Malaysia.
Saya berasakan pihak IPTA dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu duduk semeja berbincang perkara ini. Saya pernah mendengar rintihan pelajar perubatan di IPTA keadaan pengajiannya begitu tertekan dan ada setengahnya hampir hilang akal kerana sistem pengajian yang begitu membebankan pelajar.
Mengapa pelajar perubatan di Asia Barat (Mesir) tidak stres dalam pembelajaran mereka? Sistem pengajian di sana adalah sistem pengajian pondok. Pensyarah di sana tidak mengejar untuk menghabiskan sukatan pelajaran sebaliknya pensyarah akan beralih kepada tajuk pengajian baru selepas semua pelajar benar-benar menguasai dan memahami tajuk yang lalu. Penjadualan peperiksaan tidak begitu padat iaitu selang antara kertas peperiksaan adalah sekurang-kurangnya seminggu. Dalam tempoh ini, pelajar dapat membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi kertas peperiksaan seterusnya. Pendekatan pengajiannya banyak dalam bentuk amali. Pelajar tahun pertama sudah menyatakan mayat sudah menjadi 'rakan baik' mereka.
Oleh itu saya mencadangkan pihak IPTA dengan kerjasama KPT perlu menyemak semula kaedah pengajaran dan penjadualan peperiksaan supaya tidak membebankan pelajar. Buatlah lawatan ke universiti di Asia Barat, cuba belajar dengan mereka bagaimana mereka mengajar pelajar yang berkelulusan rendah iaitu 3B berjaya juga dianugerahkan ijazah perubatan.
Biarlah semua pelajar berasa seronok untuk belajar perubatan. Jarang pegawai perubatan yang saya temui menggalakkan pelajar supaya mengikuti kursus kedoktoran. Kebanyakan mereka menggalakkan pelajar memilih bidang pengajian lain dengan alasan belajar bidang perubatan susah, tiada masa secukupnya untuk rehat, penat dan on call sepanjang masa.
BAPA BAKAL DOKTOR,
Pasir Mas,
Kelantan.
Sumber: Berita Harian 11 Ogos 2009(Selasa)
Calon pelajar perubatan di Asia Barat biar ikut saluran betul, layak
SAYA ingin merujuk surat yang ditulis 'Bapa Bakal Doktor', Kelantan, mengenai 'Belajar Perubatan di Asia Barat lebih mudah' yang disiarkan ruangan ini, kelmarin. Saya amat bersetuju dan menyokong segala fakta diutarakan penulis.
Memang benar, sistem pembelajaran bidang perubatan di Asia Barat seperti di Mesir amat baik dibandingkan negara kita. Namun, satu fakta yang ingin saya kongsi bersama ialah, adakah benar dan relevan untuk kerajaan untuk terus menghantar ribuan pelajar ke Asia Barat? Apakah ini langkah yang dikira bijak? Mahukah kisah yang berlaku di Ukraine berlaku di Asia Barat?
Kita mahu melihat anak Melayu mampu bergelar doktor? Mahu menjadikan bangsa Melayu tidak ketandusan doktor hebat? Namun, apakah kita sanggup melihat bangsa kita dipandang rendah lantaran mahu kita melihat anak bergelar doktor?
"Tidak apalah, anak saya minat hendak jadi doktor, saya ada duit, maka itu saya hantar anak saya ke sana. Salahkah saya?"
Mungkin kata-kata ini sudah lazim didengari. Ada duit, hantar anak ke luar negara. Walaupun tidak mencapai kelayakan sepatutnya digariskan negara kita. Segelintir itu pantas juga menyalahkan kerajaan yang mengenakan syarat terlalu ketat kepada pelajar untuk masuk ke bidang perubatan. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu mendapat semua A, di matrikulasi pula perlu mendapat CGPA 4. Persoalannya, salahkah apa yang dilaksanakan sistem pendidikan negara kita selama ini? Adakah kita mahu melihat mereka yang tidak layak, hanya berpegang pada status 'minat' sudah mencukupi untuk bergelar seorang doktor, adakah ini betul?
Mahukah kita melihat suatu hari nanti, doktor lepasan Mesir dilabel sebagai 'doktor kelas kedua'? Usah samakan bidang perubatan dengan bidang lain. Memang benar JPA menetapkan syarat sekurang-kurangnya 3B dalam mata pelajaran Sains pada peringkat SPM untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke luar negara. Tetapi, realiti sebenarnya hanya mereka yang beroleh 1A yang mendapat tawaran. Kini, sudah ramai pelajar kita yang cemerlang pada peringkat SPM dihantar pulang kerana tidak lulus ketika menuntut di Mesir.
Memang sistem pengajian di Asia Barat agak mudah dan santai berbanding negara kita. Namun, cuba kita lihat pelajar yang dihantar ke sana bukan melalui JPA atau Mara, tetapi secara persendirian. Mereka rata-ratanya tidak pernah mempelajari bahasa Arab lantas terus menyambung pengajian di sana.
Tahun praklinikal (Tahun 1, 2 dan 3) mungkin tiada masalah bagi mereka. Tetapi, apa akan jadi pada pelajar ini apabila menjejakkan kaki ke tahun klinikal (tahun 4, 5 dan 6). Tidakkah ini akan menimbulkan sejuta satu kesukaran yang teramat buat mereka untuk berkomunikasi dengan pesakit tempatan di Mesir.
Saya dan rakan-rakan senior lain yang sudah mempelajari bahasa Arab sejak di bangku sekolah ditambah dengan kuliah berbahasa Arab sejak di tahun satu juga mengalami kesukaran berkomunikasi dengan pesakit di sini. Apatah lagi bagi mereka yang tidak pernah mempelajari bahasa Arab sejak sekolah ditambah dengan kuliah mereka di sini juga yang mula dijalankan dalam bahasa Inggeris.
Di manakah ada ruang untuk mereka mempelajari bahasa Arab? Kita tidak mahu ada yang belajar separuh jalan. Tahun Pertama dan Kedua mungkin tidak mendatangkan masalah. Tetapi, di Tahun Ketiga terpaksa dihantar pulang kerana gagal. Tidakkah ini suatu pembaziran wang ringgit dan masa.
Saya menyahut seruan kerajaan untuk menghantar ribuan pelajar ke Asia Barat. Datanglah beramai-ramai. Ramaikan doktor Melayu, namun biarlah melalui saluran yang betul dan hanya benar-benar layak diberikan tempat.
KEMBAR 86,
Fakulti Perubatan, Universiti Ain Shams,
Kaherah Mesir.
Sumber: Berita Harian 12 Ogos 2009(Rabu)
Syarat ketat kursus perubatan di IPTA hasil pelajar berkualiti
SAYA ingin merujuk kepada tulisan saudara 'Bapa bakal doktor' dari Pasir Mas, Kelantan bertajuk 'Belajar perubatan di Asia Barat lebih mudah' yang disiarkan ruangan ini, 11 Ogos lalu.
Untuk makluman saudara, saya graduan doktor perubatan dari IPTA yang sedang menjalani latihan housemanship di sebuah hospital kerajaan.
Saya amat menghormati pandangan mengenai perbandingan sistem pembelajaran kursus perubatan antara universiti tempatan dan universiti di Asia Barat. Ada kemungkinan pandangan itu betul, tetapi biarlah saya selaku seorang doktor yang melalui proses latihan perubatan di IPTA tempatan dan kini merasai sendiri bagai-mana cabaran yang dihadapi doktor yang perlu bertugas di hospital tempatan.
Mengenai syarat kelayakan yang ketat untuk memasuki kursus perubatan di IPTA tempatan, kita perlu faham, kursus perubatan adalah antara kursus paling sukar di universiti. Disebabkan graduan perubatan dijamin peluang pekerjaannya, maka tidak hairanlah permintaan untuk mengikuti kursus ini sangat tinggi.
Untuk menjamin kualiti graduan perubatan yang dihasilkan adalah tinggi dan perlu menepati standard Majlis Perubatan Malaysia (MMC) maka bilangan tempat yang ditawarkan adalah terhad dan dikawal. Jadi tidak hairanlah syarat untuk mengikuti kursus perubatan di dalam negara sangat ketat. Kalau diturunkan syarat kelayakan yang perlu dipenuhi untuk mengikuti kursus perubatan, maka kualiti graduan yang dihasilkan mungkin terjejas. Sebagai contoh, jika hanya 500 tempat disediakan, tetapi yang memintanya mungkin 5,000, maka logiklah jika 500 terbaik saja dipilih.
Seterusnya mengenai hujah pelajar perubatan di Asia Barat tidak menghadapi tekanan dalam pembelajaran mereka. Dari segi teori, apa yang diajar di sekolah perubatan di seluruh dunia memang sama. Tetapi apa yang membezakannya adalah latihan praktikal yang perlu disesuaikan dengan kehendak dan suasana tempatan.
Di Malaysia, setiap graduan perubatan perlu mahir dalam kemahiran asas seorang doktor seperti teknik temu ramah pesakit, mengambil darah, membaca x-Ray dan lain-lain yang sekurang-kurangnya dapat mencapai standard yang ditetapkan MMC. Oleh sebab itu, setiap pelajar perubatan tempatan dilatih tanpa mengenal erti dan jemu untuk menguasai skil asas ini.
Pelatih juga dilatih untuk bersedia menghadapi keadaan sebenar sebagai seorang doktor apabila bekerja nanti. Oleh sebab itu, jadual yang padat dengan kelas, oncall, periksa wad, prosedur asas, dan penjelasan kes direka untuk membolehkan pelajar menghadapi tekanan apabila bekerja nanti.
Tambahan pula, daripada pengamatan saya biasanya graduan perubatan tempatan sudah masak dengan tekanan ini apabila bekerja. Sebaliknya graduan dari luar negara, terutamanya dari Asia Barat dan Eropah Timur, yang sudah biasa ‘dimanjakan’ ketika belajar sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran pekerjaan di sini.
Sebagai contoh, mengikut pengalaman saya, ada di antara mereka tidak tahu menyambut bayi, mengambil darah, membaca x-Ray, menemuramah pesakit yang bagi graduan Malaysia sudah didedahkan sejak awal tahun tiga lagi dan sudah diharapkan untuk mahir dengannya. Kesimpulannya janganlah menganggap isu belajar perubatan di Asia Barat lebih mudah, sebaliknya adakah kualiti graduan yang dihasilkan itu benar-benar berkualiti dan mampu memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk pesakit.
GRADUAN PERUBATAN TEMPATAN,
Kuantan, Pahang.
Sumber: Berita Harian 13 Ogos 2009(Khamis)
[+/-] Baca Lagi
[+/-] Ringkasan