Friday, June 5, 2009

Arranged


(Ketika saya menonton filem ini, Obama sedang berada di Mesir sempena siri lawatan beliau ke negara-negara Islam di Timur Tengah.)

Filem ini memaparkan interaksi antara pelbagai bangsa yang hidup di Amerika Syarikat, terutamanya dua bangsa yang bergolak iaitu Islam dan Yahudi. Justeru, filem ini mengisahkan persahabatan yang terjalin antara dua wanita yang masing-masing daripada bangsa tersebut. Mereka ialah Rochel Meshenberg(Zoe Lister Jones)-seorang Yahudi Ortodoks dan Nasira Khaldi(Francis Benhamou)-seorang Muslim. Mereka sama-sama mengajar di sebuah sekolah UN yang muridnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Mereka juga sedang dicarikan jodoh oleh keluarga mereka dan diadakan beberapa siri pertemuan.

Mereka hidup dalam keluarga yang berpegang teguh pada agama masing-masing. Suasana dan hubungan baik antara mereka dengan keluarga masing-masing membina diri mereka menjadi remaja yang baik dalam beragama dan terjaga daripada gejala sosial yang merebak teruk di Amerika Syarikat. Namun , Rochel hampir terjebak apabila ada krisis antara dia dan keluarganya. Mujur pendidikan sejak kecil telah membentuk jatidiri yang kuat, akhirnya dia sendiri yang memilih untuk tidak menjebakkan diri ke dalam kancah gejala sosial.

Saya mengetahui kewujudan filem ini apabila membaca ulasan saudara Faisal Tehrani dalam blog beliau. Pelik apabila mendapat tahu penulis filem ini bukanlah seorang Islam, tetapi berjaya menggambarkan Islam dengan benar dan tidak prejudis. Malang dan menyedihkan apabila ada Muslim yang membodohkan diri menghina,memburukkan dan mencipta salah faham terhadap Islam dalam filem-filem mereka.(Terbaru filem Perempuan Berkalung Sorban yang menyerapkan fahaman Islam Liberal, saya akan cuba mengulas filem itu tak lama lagi)

Wanita-wanita Liberal mendakwa memakai tudung mengongkong kebebasan wanita. Namun, pendapat itu disangkal dalam filem ini apabila Nasira menyatakan pendirian bahawa dia bertudung bukan atas dipaksa dan tidak dikongkong, tetapi atas pilihannya sendiri.

Kemodenan dan kebebasan yang diamalkan secara tidak sihat oleh generasi kini turut dipertikaikan apabila berlaku perbalahan antara Rochel dan pengetuanya. Dia mempertahankan budaya-budaya tradisional yang dikritik oleh pengetuanya. Jawapan Rochel membuatkan pengetuanya terkedu,"Why is getting drunk and sleep with a man you don't even know as a way of finding love?". Secara tidak langsung dialog ini menjawab persoalan kenapa watak-watak dalam filem ini cukup menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan(Rochel tidak bersalam dengan lelaki kerana dalam agama Yahudi juga melarang lelaki perempuan bersentuhan) dan keluarga mereka yang mengatur pencarian jodoh.

Kebetulan dengan lawatan Obama, Presiden AS ke Mesir dan apabila diteliti ucapan yang disampaikan beliau ada sedikit persamaan dengan beberapa persoalan yang diketengahkan oleh filem ini. Antaranya, krisis di Palestin antara Muslim dan Yahudi dan persepsi masyarakat Amerika terhadap Muslim.(Baca ucapan Obama di sini)

Filem ini amat baik. Banyak nilai-nilai murni yang dipaparkan dan mesej disampaikan dengan bagus dan melalui cara yang bermutu serta kreatif. Tidak perlu berfikiran sempit melakonkan babak-babak rempit dan melambakkan senario maksiat dalam filem untuk memberikan keinsafan kepada masyarakat.

Untuk ulasan yang lebih mantap berkenaan filem ini anda boleh baca di blog Faisal Tehrani. Klik.

2 comments:

neighbour > imtiyaz[at]tarbiyyah June 5, 2009 at 10:13 AM  

Assalamualaikum wbt.

Interesting and we're interested.

Mind to share the downloaded film?

Ibnu Fuad June 5, 2009 at 10:46 PM  

Boleh2.. nak nanti bgtau..

(x blh letak link download.. menyalahi akta hak cipta secara terbuka.. boleh didakwa)