Tuesday, April 28, 2009

Kisah Menarik Dari Gaza


Tahun baru 2009 dimulai dengan kisah duka bagi umat Islam iaitu peperangan di Gaza. Pemandangan yang sangat memilukan. Namun Allah swt menjadikan peristiwa Gaza bukan sekadar untuk menjadi tontonan televisyen dan bualan para wartawan untuk bulan tersebut.

Apa yang kita dengar dari berita:

1. Seorang ibu dari keluarga Samouni di Gaza melahirkan anaknya di tengah-tengah suasana pengeboman.

2. Seorang wanita mengatakan: “Tidak, tanah ini milik kami, apapun yang mereka lakukan tanah ini milik kami, kami akan tetap menentang mereka (Yahudi).”

3. Seorang wanita muda pergi ke kedai roti untuk membeli roti dan terpaksa beratur berjam-jam di tengah-tengah ledakan bom di Gaza. Ketika ditanya oleh wartawan mengapa ia tetap pergi ke kedai roti padahal ia dalam keadaan tidak selamat, ia menjawab: “Tinggal di rumahpun kami dibom sedangkan saya perlu membeli roti untuk keluarga di rumah, jadi saya perlu laluinya juga. kita hanya mati sekali.”

4. Selama 22 hari perang, Israel berjaya membunuh 600 orang anak-anak Gaza dari lebih 1,300 mangsa yang meninggal, tapi selama masa itu pula lahirnya 3,500 bayi baru. Ramai wanita Gaza yang melahirkan kembar samada kembar dua atau kembar tiga.

Sungguh luar biasa, hanya sehari sesudah kedua pihak menyatakan gencatan senjatanya masing-masing, polis lalu lintas sudah bertugas di jalan-jalan di Gaza, bahkan sekolah dibuka kembali kurang dari seminggu sesudah itu. Para murid saling menyapa ketika pertama kali berjumpa: “Hai kamu masih hidup ya?”

Baca kisah selanjutnya di sini.

*Gambar kanak-kanak Gaza. Sumber: http://www.islamicnews.org.sa/en/1.php

[+/-] Baca Lagi

Monday, April 27, 2009

Idola

Baru-baru ini Anugerah Bintang Paling Popular dimenangi oleh Nabil Raja Lawak. Beliau berjaya menawan hati rakyat Malaysia dengan lawaknya yang tidak kering gusi dan bersahaja. Sebaik sahaja nama Nabil diumumkan, para peminatnya menjerit-jerit melaung-laung idola mereka. Mereka sangat gembira atas kemenangan idola mereka. Sebelum ini, anugerah tersebut pernah dimenangi oleh artis-artis seperti Mawi, Siti Nurhaliza, Saiful Apek dan lain-lain. Semua nama tersebut mempunyai peminat tersendiri dan dijadikan idola oleh peminat mereka. Kini, siapa yang tidak kenal nama-nama tersebut memang sangat pelik.

Namun, kenalkah anda dengan Mus'ab bin Umayr? Beliau juga ialah seorang selebriti dan idola tetapi pada zaman Mekah dahulu. Kini, beliau masih lagi selebriti dan sepatutnya dijadikan idola oleh remaja Muslim kini.

Before he entered Islam, Mus`ab was truly the hippest, coolest, most handsome young man in all of Makkah. Preoccupied with his worldly existence, Mus`ab made full use of the family wealth at his disposal for the latest in perfumes, clothing and shoes.

Given the time period and location we are referring to, sometime in early 7th century Arabia, it is remarkable that a young man exerted so much energy in being down with the latest trends. If there was a popularity contest in Makkah, Mus`ab would be the winner without a doubt.


Siapakah beliau? Bagaimanakah kehidupan beliau? Kenapa beliau perlu dijadikan idola? Anda boleh baca lanjut di sini.

Bagaimana untuk memilih idola? Anda boleh baca di sini.

[+/-] Baca Lagi

Sunday, April 26, 2009

Pemimpin

Serius, saya risau apabila DS Najib Tun Razak naik sebagai PM Malaysia ke-6. Imej beliau di mata saya sudah dipengaruhi oleh pelbagai kisah yang tidak baik. Cuma kisah-kisah itu masih samar dan tidak diketahui kesahihannya.

Namun begitu beliau masih Muslim dan mengamalkan Islam. Saya berdoa semoga beliau diberikan hidayah sepanjang pemerintahan agar memerintah dengan penuh keadilan dan kesaksamaan. (Klik)

Cuma kini sukar untuk mencari pemimpin yang benar-benar menghayati Islam dalam kehidupannya; pemimpin yang menghayati sunnah Rasulullah s.a.w., pemimpin paling ideal di dunia; pemimpin yang dapat memacu umat Islam atas jalan yang diredai Allah dan RasulNya. Jikalau ada hanya sedikit dan boleh dikira.

Pemimpin kini ramai yang korup dan mengecewakan rakyat.

Hakikatnya, pemimpin-pemimpin kini akan pergi, dan bakal digantikan dengan pemimpin-pemimpin baru. Pemimpin-pemimpin baru itu semuanya masih pemuda kini, sedang menuntut di universiti-universiti, sekolah-sekolah, malah ada yang sedang merempit, menghisap ganja dan sebagainya. Rupa wajah kepemimpinan masa hadapan ialah pemuda-pemuda kini. Maka, untuk membentuk pemimpin yang Muslim dan Mukmin, tidak korup, tidak mengecewakan rakyat, tidak fasik, pembentukan perlu dilakukan pada pemuda kini.

Andai pemuda kini dibentuk dengan suasana hedonisme, maka pada masa hadapan akan berlambaklah konsert-konsert, akademi-akademi dan segala-gala perkara yang kononnya demi memperjuangkan industri seni negara. (Patriotisme sungguh)

Andai pemuda kini dibentuk dengan suasana rabbani, maka dengan keizinan Allah, masa hadapan untuk Islam amatlah cerah.

Dan perjuangan untuk memenangkan Islam bukanlah sesuatu yang perlu tergesa-gesa dan tergopoh-gapah. Kita harus berusaha untuk mempercepat kemenangan Islam, tetapi bangunan kemenangan yang hendak dibina bukanlah bangunan yang rapuh, tidak seimbang dan mudah roboh. Asas harus dibina dengan kukuh.

Lihatlah contoh-contoh kerajaan yang cepat runtuh kerana asas yang kurang kukuh, apabila dicocok dengan ugutan dan wang maka rakyat dikecewakan; malah ada yang rakyat mengecewakan kerajaan.

Mungkin, kita hanya sempat membina asasnya, kemenangannya ialah nanti ketika zaman anak-anak kita.

P.S. Mari baca persoalan sahabat saya.

[+/-] Baca Lagi

Wednesday, April 22, 2009

Persoalan sepanjang isu

Bercakap lebih senang daripada buat. Cakap, cakap dan cakap.
Pelbagai isu yang berlaku baru-baru ini memeningkan dan memenatkan. Saya bukanlah orang yang arif dalam isu tersebut(taadud jamaah dll). Malah, ilmu pun tak sampai ke tahap untuk layak memberikan pendapat. Cuma sebagai manusia, ada sedikit persoalan dalam minda yang perlu dikhabarkan.

1. Ada segelintir saudara yang mengatakan kewujudan beberapa jamaah ini melambatkan kemenangan Islam. Isu taadud ini memang kalau dibincangkan takkan habis sebab ulama yang hebat pun khilaf tentang hal ini. Pendapat saya, perdebatan tentang isu inilah yang melambatkan kemenangan Islam sebab telah mencuri banyak masa untuk beramal. Rasa-rasanya sahabat-sahabat kita yang tidak bernasib baik di luar sana, yang mengucap pun tak tahu, solat pun tidak, akan selamat ke apabila melihat perdebatan hebat siap hujah dan dalil Al-Quran itu? (Klik sini dan sini) Islam Liberal dapat ditangkis ke? (Klik sini) Dan banyak lagi... Bukankah baik masing-masing terus beramal dalam persatuan masing-masing tanpa perlu menuding jari kepada orang lain. Dan bagaimanakah bentuk amal? Betulkah aku sudah beramal? Persoalan untuk diri. (Baca kisah mualaf yang dimarahi kerana menegur rakan senior Muslimnya)

2. Tuduh-menuduh, tahan-menahan yang berlaku bagaikan pertarungan antara dua gajah yang mengorbankan pelanduk di tengah. Kadangkala nampak ada percikan bunga api akibat pergeseran tersebut. Masing-masing mencari silap yang memang akan ada sebab yang memimpin dan bergerak dalam jemaah/persatuan itu ialah manusia.

3. Sebijak mana, setinggi mana ilmu, masing-masing ialah manusia yang mempunyai hati. Segala perkara bermula daripada hati. (Rujuk hadis ke-6 Hadis 40 Imam Nawawi). Hati punca segala-gala yang baik atau buruk. Suka, benci, hasad, tamak, kedekut, pemurah, lapang dada, berani dan lain-lain semuanya bermula daripada hati. Hati yang baik, produknya baik. Hati yang buruk, produknya buruk. Peranan masing-masing ialah membersihkan hati sendiri di samping berusaha membersihkan hati orang lain. Maka, dunia akan aman.

4. Ya Allah golongkan kami dalam golongan yang beriman, beramal dan bertaqwa. Jadikanlah kami sebab bagi manusia lain kembali kepadaMu, jangan jadikan kami sebab untuk manusia lari daripadaMu.

Terima kasih kepada semua terutamanya sahabat-sahabat dan ikhwah-ikhwah yang banyak memberi peringatan dan menyedarkan saya. (Klik sini dan sini)














*Mereka memerlukan doktor/jurutera/ustaz/ulama/guru dll. muslim yang soleh dan menyolehkan.

[+/-] Baca Lagi

Tuesday, April 21, 2009

Musim Mengawan Manusia?

Kenapa perkara ini berlaku? Apakah penyelesaiannya?

Bahana nafsu
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my


SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah.

Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah.

Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku.

Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day).

Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi.

Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.

Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks.

Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.
Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.

“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.

“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.

“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.

Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.

Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.

“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.

“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.

Berita Selanjutnya

[+/-] Baca Lagi

Monday, April 20, 2009

Kegoncangan

Sedikit renungan..


Di dunia ini tiada istilah suka-suka atau saja-saja, sebab di sana nanti semuanya akan ditanya..

Mari kita membaca sejenak Surah Al-Zalzalah(kegoncangan), dan baca juga maksudnya.. bagaimana Allah menceritakan dalam firmanNya suasana di sana nanti.. sebagaimana kita baca novel, kita boleh bayangkan apakah yang disampaikan oleh penulis, seperti juga sepatutnya kita lakarkan dalam fikiran kita apabila membaca Al-Zalzalah..

Al-Zalzalah

1. Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat,


2. dan bumi mengeluarkan beban-beban berat yang dikandungnya,


3. dan manusia bertanya: "Mengapa bumi jadi begini?",


4. pada hari itu bumi menceritakan beritanya,

5. karena sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan yang sedemikian itu kepadanya.

6. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan balasan pekerjaan mereka.


7. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat balasannya.


8. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan yang sebesar zarah pun nescaya dia akan melihat balasannya.

[+/-] Baca Lagi

Sunday, April 19, 2009

Kenapa Menulis Blog?

Assalamualaikum.
Entri pertama untuk blog saya. Selamat datang diucapkan dan terima kasih kerana berkunjung. Moga ada manfaat yang diperoleh.
Kenapa menulis blog?

1. Ibadah
"Katakanlah sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-semata untuk Allah, Tuhan semesta Alam" (Surah al-An'am: 162)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Sesungguhnya amalan bergantung kepada niat dan sesungguhnya bagi setiap individu itu apa-apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang hijrahnya untuk memperoleh dunia atau kerana wanita yang dia ingin kahwini, maka hijrahnya kepada apa-apa yang dia hijrahkan". (HR Bukhari & Muslim)
2. Tingkat ilmu
Perbuatan memberi mesti ada pemberi dan barang yang diberi. Perbuatan menulis mesti ada penulis dan perkara yang ditulis. Penulis haruslah ada sesuatu dalam fikirannya untuk ditulis. Maka, jika kosong fikirannya maka tulisannya akan kosong. Oleh sebab itu, fikiran perlulah diisi dengan ilmu untuk menghasilkan tulisan yang ilmiah. Tambahan, menurut Imam Al-Ghazali dalam Minhajul Abidin, ilmu merupakan inti dan petunjuk dalam menjalankan ibadat.
Malah dengan ilmu kita dapat meningkatkan keimanan.
"Sesungguhnya yang takutkan kepada Allah di antara hamba-hambanya hanyalah ulama(yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah)." (Surah Al-Fatir: 28)
Apabila orang yang mendapat ilmu daripada tulisan kita dan mengamalkannya, akan menjadi saham bekalan di akhirat nanti.
Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk - yakni kebenaran, maka baginya adalah pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya, tidak dikurangi sedikitpun dari pahala mereka itu." (Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a. Sabda Rasulullah: "Apabila mati anak Adam, terputuslah segala amalannya kecuali tiga: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya". (Riwayat Muslim)
3. Dakwah
Dakwah ada pelbagai medan dan medium. Medan meliputi masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan, golongan dan bidang seperti pelajar, doktor, mat rempit dan sebagainya . Medium ialah alat penghubung antara pendakwah dengan masyarakat. Antara contoh medium ialah televisyen, filem, surat khabar, tulisan dan juga internet termasuklah blog.
Lihat bagaimana Rasulullah dahulu kreatif dalam aplikasi dan manipulasi konsep medan dan medium.
• Kisah Rasulullah berdakwah kepada Rukanah seorang penggusti, mediumnya ketika itu juga gusti. Rasulullah s.a.w. berjaya mengalahkannya dan akhirnya Rukanah memeluk Islam.
• Rasulullah menggunakan medium tulisan ketika berdakwah kepada raja-raja dahulu seperti Kisra(Parsi), Hercules(Rom) dan Maqauqis(Mesir) dengan mengutuskan surat kepada mereka.
Kini, Islam pula telah diserang oleh musuh-musuh daripada pelbagai segi dan cara, sayang jika Muslim tidak membalas serangan-serangan itu seperti mana mereka menyerang kita. Televisyen, radio, filem, surat khabar, internet dan banyak lagi haruslah dimanfaatkan untuk menyebarkan Islam dan menentang anasir musuh, di samping tidak mengabaikan perkara-perkara asasi. Cuma kini amat malang kerana ada segelintir Muslim yang mensia-siakan dan menyalahgunakan perkara ini. Malahan ada yang menggunakan medium-medium tersebut untuk memburukkan, menjatuhkan dan memusuhi sesama Muslim.

Syeikh Yusof al-Qardawi ada merakamkan sebuah syair tulisan Al-Mutanabbi dalam buku beliau "Iman Dan Kehidupan":
Tidaklah kuda perang dan tombak;
Akan banyak bermanfaat;
Apabila kuda dan tombak itu;
Tidak dipergunakan oleh orang yang mulia.
Dalam buku yang sama beliau ada menyatakan pada bab pengenalan:
"Kita adalah kaum yang beriman, dan ini adalah persoalan yang cukup jelas, yang wajib dipelihara, dan dikumandangkan oleh penanya seorang pengarang/penulis, lidahnya seorang ahli pidato, pemikiran seorang ahli falsafah, perasaan halusnya seorang penyair, hasil karyanya seorang pelukis, kekuasaannya seorang yang berkuasa, kekuatan seorang perajurit dan lehernya rakyat semua.
Juga yang wajib dipelihara oleh seorang bapa di rumahnya, seorang guru di sekolahnya, seorang pelajar di dalam kuliahnya, seorang ahli sastera dalam kisah-kisahnya, seorang wartawan dalam pemberitaannya, seorang pengarang dalam buku-bukunya dan setiap orang yang mempunyai keahlian dalam karya-karyanya."
Oleh itu, mari kita sentiasa memperbaharu niat dan tujuan serta memperbaik diri dalam bidang penulisan blog agar dirahmati dan diredai Allah s.w.t.

[+/-] Baca Lagi