Sunday, April 19, 2009

Kenapa Menulis Blog?

Assalamualaikum.
Entri pertama untuk blog saya. Selamat datang diucapkan dan terima kasih kerana berkunjung. Moga ada manfaat yang diperoleh.
Kenapa menulis blog?

1. Ibadah
"Katakanlah sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-semata untuk Allah, Tuhan semesta Alam" (Surah al-An'am: 162)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Sesungguhnya amalan bergantung kepada niat dan sesungguhnya bagi setiap individu itu apa-apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang hijrahnya untuk memperoleh dunia atau kerana wanita yang dia ingin kahwini, maka hijrahnya kepada apa-apa yang dia hijrahkan". (HR Bukhari & Muslim)
2. Tingkat ilmu
Perbuatan memberi mesti ada pemberi dan barang yang diberi. Perbuatan menulis mesti ada penulis dan perkara yang ditulis. Penulis haruslah ada sesuatu dalam fikirannya untuk ditulis. Maka, jika kosong fikirannya maka tulisannya akan kosong. Oleh sebab itu, fikiran perlulah diisi dengan ilmu untuk menghasilkan tulisan yang ilmiah. Tambahan, menurut Imam Al-Ghazali dalam Minhajul Abidin, ilmu merupakan inti dan petunjuk dalam menjalankan ibadat.
Malah dengan ilmu kita dapat meningkatkan keimanan.
"Sesungguhnya yang takutkan kepada Allah di antara hamba-hambanya hanyalah ulama(yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah)." (Surah Al-Fatir: 28)
Apabila orang yang mendapat ilmu daripada tulisan kita dan mengamalkannya, akan menjadi saham bekalan di akhirat nanti.
Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk - yakni kebenaran, maka baginya adalah pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya, tidak dikurangi sedikitpun dari pahala mereka itu." (Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a. Sabda Rasulullah: "Apabila mati anak Adam, terputuslah segala amalannya kecuali tiga: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya". (Riwayat Muslim)
3. Dakwah
Dakwah ada pelbagai medan dan medium. Medan meliputi masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan, golongan dan bidang seperti pelajar, doktor, mat rempit dan sebagainya . Medium ialah alat penghubung antara pendakwah dengan masyarakat. Antara contoh medium ialah televisyen, filem, surat khabar, tulisan dan juga internet termasuklah blog.
Lihat bagaimana Rasulullah dahulu kreatif dalam aplikasi dan manipulasi konsep medan dan medium.
• Kisah Rasulullah berdakwah kepada Rukanah seorang penggusti, mediumnya ketika itu juga gusti. Rasulullah s.a.w. berjaya mengalahkannya dan akhirnya Rukanah memeluk Islam.
• Rasulullah menggunakan medium tulisan ketika berdakwah kepada raja-raja dahulu seperti Kisra(Parsi), Hercules(Rom) dan Maqauqis(Mesir) dengan mengutuskan surat kepada mereka.
Kini, Islam pula telah diserang oleh musuh-musuh daripada pelbagai segi dan cara, sayang jika Muslim tidak membalas serangan-serangan itu seperti mana mereka menyerang kita. Televisyen, radio, filem, surat khabar, internet dan banyak lagi haruslah dimanfaatkan untuk menyebarkan Islam dan menentang anasir musuh, di samping tidak mengabaikan perkara-perkara asasi. Cuma kini amat malang kerana ada segelintir Muslim yang mensia-siakan dan menyalahgunakan perkara ini. Malahan ada yang menggunakan medium-medium tersebut untuk memburukkan, menjatuhkan dan memusuhi sesama Muslim.

Syeikh Yusof al-Qardawi ada merakamkan sebuah syair tulisan Al-Mutanabbi dalam buku beliau "Iman Dan Kehidupan":
Tidaklah kuda perang dan tombak;
Akan banyak bermanfaat;
Apabila kuda dan tombak itu;
Tidak dipergunakan oleh orang yang mulia.
Dalam buku yang sama beliau ada menyatakan pada bab pengenalan:
"Kita adalah kaum yang beriman, dan ini adalah persoalan yang cukup jelas, yang wajib dipelihara, dan dikumandangkan oleh penanya seorang pengarang/penulis, lidahnya seorang ahli pidato, pemikiran seorang ahli falsafah, perasaan halusnya seorang penyair, hasil karyanya seorang pelukis, kekuasaannya seorang yang berkuasa, kekuatan seorang perajurit dan lehernya rakyat semua.
Juga yang wajib dipelihara oleh seorang bapa di rumahnya, seorang guru di sekolahnya, seorang pelajar di dalam kuliahnya, seorang ahli sastera dalam kisah-kisahnya, seorang wartawan dalam pemberitaannya, seorang pengarang dalam buku-bukunya dan setiap orang yang mempunyai keahlian dalam karya-karyanya."
Oleh itu, mari kita sentiasa memperbaharu niat dan tujuan serta memperbaik diri dalam bidang penulisan blog agar dirahmati dan diredai Allah s.w.t.

0 comments: