Showing posts with label Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Malaysia. Show all posts

Monday, June 8, 2009

SIS Dan Islam Liberal: Prakata

Tepat 7 Jun 2009, jam 4.15 ptg(waktu Malaysia) tirai Muktamar Pas ke-55 dilabuhkan. Pelbagai usul telah dibentang dan dibahaskan. Satu usul yang menarik perhatian saya.

PAS gesa siasat, haramkan SIS.
Klik.

Usul itu diterima tanpa dibahaskan.


Parti komponen Pakatan Rakyat (PKR dan DAP) mempertikaikan usul itu.

SIS melenting. Klik.

Siapakah SIS? Kenapakah Pas menggesa penyiasatan dan pengharaman SIS?

Bukan Pas sahaja yang membangkitkan usul ini. Malah, UMNO(ahli-ahlinya juga Muslim) juga pernah.
Selain PAS yang membuat ketetapan meminta kerajaan menyiasat kedudukan kumpulan ini, ahli-ahli UMNO dalam perhimpunan Agongnya pada 2006 pernah mengungkit tentang kumpulan ini yang dikatakan mencabar dan menghina undang-undang Syariah.

Mufti Perak, Harussani Zakaria dalam satu ceramahnya pernah menyifatkan mereka ini (sisters in islam) telah terkeluar Islam kerana mempertahankan Islam liberal yang mengatakan A-Quran sudah ketinggalan zaman.

Antara kontroversi lain kumpulan ini(SIS) adalah;

1. Menolak poligami yang dibenarkan oleh Islam dengan menjustifikasikan ianya mendatangkan pelbagai masalah kepada keluarga muslim

2. Mengatakan Murtad bukan Jenayah dan menolak hukuman bunuh keatas Murtad sebagaimana ketetapan syariah.

3. Mengatakan Undang-undang Islam di Malaysia mengamalkan diskriminasi dan gagal melindungi wanita

4. Menolak hukum mewajibkan pemakaian tudung kepala kepada wanita Islam

5. Mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

Justeru, ramai yang berpendapat kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan ini yang terus-terusan mentafsirkan Islam dengan logik akal, sehingga ada yang memberikan pandangan pendokongnya mesti di hukum dibawah Kanun Kesiksaan kerana menfitnah Islam secara jenayah (criminal defamation).
Sumber di sini.

Kesimpulannya, SIS mengancam Islam dan Muslim. Jika berlaku pengharaman, pemikiran yang dibawa SIS iaitu pemikiran Islam Liberal yang menyerapkan salah faham terhadap masyarakat dan Muslim akan tetap berleluasa.

SIS dan Islam Liberal antara pelan Barat untuk menghancurkan Islam. Barat berusaha untuk menghapuskan Al-Quran daripada Islam.
Misionari Tuckly telah berkata: "Kita mesti menggunakan Al-Quran yang merupakan senjata yang tajam di dalam Islam untuk kita perangi Islam sehingga kita dapat banteraskannya sehabis-habisnya dan kita mesti jelaskan kepada orang-orang Islam bahawa yang benar di dalam Al-Quran itu bukanlah sesuatu yang baru dan yang baru dalam Al-Quran itu bukanlah sesuatu yang benar." Barat juga berusaha menimbulkan keraguan di kalangan orang Islam terhadap agamanya melalui tulisan dan pemikiran yang dicanai oleh para orientalis. (Sumber: Ustaz Jalal Al-Alim "Seruan Barat: Hancurkan Islam, Hapuskan Pemeluknya")

Maka, apakah peranan kita sebagai pemuda Muslim?
Menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam buku beliau Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini, dua benteng harus dimiliki oleh para pemuda.
1. Benteng ilmu pengetahuan.
2. Benteng akidah Islamiah.

Namun, tidak cukup dengan dua benteng di atas. Peranan seterusnya ialah menyebarkan risalah Islam, bersungguh-sungguh menentang rancangan jahat musuh dan berterusan dalam kerja untuk menegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Bukan sekadar mengasingkan diri daripada masyarakat.

Berdasarkan kepada kesedaran, kefahaman dan pengetahuan ini, mereka hendaklah bergabung di bawah panji-panji kepimpinan Islam, bersama-sama melalui marhalah-marhalah amal untuk menyampaikan dakwah Islam kepada para pemuda dan pemudi, lelaki dan perempuan... Memberi amaran secara menyeluruh terhadap segala perancangan jahat yang dilakukan oleh musuh Islam terhadap Islam. Memberi kesedaran supaya bergabung dengan jemaah Islam demi memperbanyakkan pejuang-pejuang keimanan yang kental di negara Islam dan di segenap tempat. (Boleh dibaca lanjut dalam buku tersebut)
Kebetulan isu ini dibangkitkan ketika saya sedang berusaha dalam pembacaan berkaitan Islam Liberal. Saya akan kongsikan pembacaan tersebut dengan sahabat-sahabat pada masa hadapan, dengan izin Allah.

[+/-] Baca Lagi

Saturday, May 23, 2009

PPSMI: Lebih kontra daripada pro

(Artikel ini agak panjang dan serius)

Saya tidak berkesempatan mengalami sendiri PPSMI. Tempiasnya ada, dahulu semasa SPM kertas soalan disediakan dalam dwibahasa, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Namun begitu, saya memilih untuk menjawab dalam bahasa Melayu kerana saya belajar dalam bahasa tersebut. Kini, saya meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Tiada masalah pun. Bermasalah kalau tidak bersungguh-sungguh.


Suatu hari saya melihat-lihat adik saya yang sedang mengulang kaji. Dia sedang belajar subjek sains yang kini diajar dalam Bahasa Inggeris. Sengaja saya menyoal-nyoal dengan niat untuk menguji.


Dalam buku latihannya, ada soalan dalam Bahasa Inggeris: Bryophyllum membiak guna apa? Berdasarkan bukunya, adik saya menjawab daun. Saya tanya dia, apakah 'bryophyllum'? Dia merujuk bahagian lampiran yang ada menyediakan maksud perkataan-perkataan yang sukar. Dia beritahu saya 'bryophyllum' ialah pokok setawar. Saya tanya dia apakah pokok setawar? Dia kata tak tahu. Padahal pokok itu ditanam di dalam pasu bunga di halaman rumah.


Saya lihat lagi bukunya, ada soalan tentang spring, dalam Bahasa Inggeris. Spring kenyal atau tidak? Dia jawab tidak dan disalahkan oleh gurunya. Saya kritik dia kerana soalan mudah begitu pun boleh salah.


Saya tanya kepadanya lagi, fahamkah dia apa yang diajari gurunya? Dia takut-takut nak menjawab. Dia tak faham. Saya tanya lagi, habis tu, bagaimana dia menjawab soalan-soalan dalam buku latihannya? Dia kata gurunya yang beri jawapan.


PPSMI. Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris.

Untuk mengetahui sejarah PPSMI, anda boleh merujuk sendiri di sini.

Ada yang menyokong, namun ramai yang menentang PPSMI. Masing-masing ada sebab tersendiri. Bagi pihak yang menentang, ada yang menentang kerana mempertahankan ketuanan Bahasa Melayu. Ada yang menentang sebagai isu politik. Ada yang menentang kerana kesan negatifnya.

Secara peribadi(walaupun tiada menteri yang akan menghiraukan alasan saya), saya membantah pelaksanaan PPSMI kerana saya telah melihat sendiri kesannya kepada adik-adik saya. Sekolah adik saya ialah kategori luar bandar. Mereka tidak faham apa-apa yang mereka belajar, padahal kefahaman amat penting dalam pembelajaran sains dan matematik. Guru sendiri hanya memberi jawapan dan adik-adik saya hanya menghafal jawapan.


Saya sendiri lihat sukatan pembelajaran adik-adik saya semacam sudah direndahkan tahapnya agar memudahkan pengajian mereka. Hal ini bukannya memantapkan lagi malah memundurkan. Jika ingin meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, mantapkan mata pelajaran itu sendiri, mantapkan mata pelajaran English In Science And Technology(EST).


Bangga mereka(kementerian) mengumumkan peningkatan dalam keputusan SPM 2007, khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Padahal graf keputusan boleh dinaik-turun oleh kementerian. Malahan, peningkatan keputusan bukanlah bermakna peningkatan dalam penguasaan para pelajar.


Memang kini, ukuran kecemerlangan para pelajar ialah berdasarkan angka keputusan peperiksaan. Kemajuan dan kemodenan pula diukur pada material sahaja. Hal inilah yang menyedihkan.


Kebiasaannya, para pelajar kurang minat pada mata pelajaran Bahasa Inggeris. Maka, apabila mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris, pelajar-pelajar akan hilang minat pula pada mata pelajaran tersebut.


Di luar bandar terutamanya, para pelajar kebanyakannya lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Maka, hal ini akan memberi kesan kepada prestasi mereka dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.


Bahasa Melayu juga ialah bahasa budaya. Oleh sebab itu, tindakan ini seperti melemahkan dan mengurangkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar kini, juga menyebabkan penguasaan pelajar yang rata-ratanya ialah remaja terhadap kebudayaan Melayu semakin pupus. Umum mengetahui bahawa dasar kebudayaan Melayu kebanyakannya berlandaskan agama Islam. Sejarah membuktikan bagaimana Mustafa Kemal Attaturk memansuhkan tulisan dan bahasa Arab di Turki mengakibatkan masyarakat Turki terpisah daripada Islam. Juga Tun Dr. Mahathir menukar penggunaan tulisan jawi kepada rumi menjadikannya salah satu faktor ramai kini orang Melayu yang tidak tahu membaca Al-Quran kerana tiada asas huruf Arab.


Saya sebagai bekas pelajar luar bandar, dan abang kepada pelajar luar bandar berpendapat Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris membunuh potensi, membantut kemajuan, menyukarkan kefahaman anak-anak luar bandar dalam mata pelajaran tersebut. Itu ialah alasan saya berdasarkan pengalaman.

Lihat pula reaksi dan hasil kajian akademik beberapa pihak(rujukan mswikipedia).

1. Kanak-kanak lebih cepat belajar dalam bahasa ibunda, oleh itu kanak-kanak yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris (luar bandar) akan ketinggalan berbanding kanak-kanak yang bahasa ibundanya merupakan bahasa Inggeris. Sekiranya perkara ini berlaku pada peringkat memahami konsep, ini memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut, tidak dapat mengikuti peringkat pembelajaran seterusnya dengan baik, menjadikan mereka sentiasa keciciran berbanding rakan-rakan berbahasa Inggeris mereka. (Rujuk sini)

2. Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina)
  • Kajian "Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid" mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. Kajian ini mendapati PPSMI hanya mampu menunjukkan peningkatan minimum kepada penguasaan bahasa Inggeris sebanyak empat peratus dan pada masa yang sama mengurangkan minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik. (Rujuk sini)
  • menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
3. Kajian Prof Dr Nor Hashimah Jalaludin
  • 75% pelajar setuju belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mendatangkan masalah pemahaman dan 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan Sains dan Matematik dengan berkesan.
  • Kajian sama yang dibuat ke atas guru pula mendapati 96% guru setuju pelajar semakin kurang minat dalam Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris dan 98% guru setuju pelajar mempunyai masalah memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
  • Sampel bagi kajian ini adalah seramai 971 orang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dalam aliran kebangsaan dan jenis kebangsaan di bandar dan luar bandar. Sementara bagi guru ia melibatkan 43 orang guru yang berpengalaman mengajar 1 hingga 20 tahun berumur melebihi 25 tahun pada tahun kajian dibuat. (Rujuk sini)

4. Memorandum 11 pertubuhan tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Ini sejajar dengan resolusi pendidikan yang diluluskan oleh UNESCO (1951:691) yang berbunyi:
"Berkenaan kepentingan pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di sekolah."
Kalau dalam bahasa 'PPSMI'nya:
(On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.)

5. Kebanyakan cendekiawan antaranya Prof Diraja Ungku Aziz termasuk golongan sasterawan dan budayawan menyatakan penentangan kepada dasar PPSMI. Ini termasuk kesemua Sasterawan Negara yang masih hidup di antaranya A. Samad Said dan Prof Muhammad Hj Salleh bersatu menyatakan pendirian menentang dasar PPSMI. (Rujuk sini)

6. Datuk Dr Anwar Ridhwan turut melahirkan pendapat mempertikaikan PPSMI:
"Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara," katanya dalam ucap utama di perhimpunan terbesar sasterawan muda Malaysia.

"Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal.

"Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka.

"Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini.

"Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik." (Rujuk sini)


[+/-] Baca Lagi

Wednesday, May 13, 2009

Prison Break

Tentu anda pernah menonton siri Prison Break yang menceritakan tentang Michael Scofield(Wentworth Miller), seorang jurutera yang sengaja menyebabkan dirinya dimasukkan ke penjara bagi menyelamatkan abangnya. Dia merancang untuk membawa abangnya lari keluar dari penjara dengan perancangan yang penuh teliti dan tak dapat dibayangkan oleh akal manusia biasa. Perancangannya amatlah lengkap sehinggakan setiap perkara termasuk dalam peta perancangannya. Akhirnya dia berjaya menerobos keluar daripada penjara Fox River, bukan sahaja membawa abangnya tetapi juga beberapa orang banduan lain.

Kalau dibayangkan dalam kehidupan sebenar, perkara yang dibuat oleh Michael Scofield itu amatlah tidak logik. Seorang menentang sistem keselamatan yang ketat dan canggih serta ramai polis penjara. Namun, perkara itu ada berlaku dalam realiti kehidupan dan kisah itu heboh baru-baru ini.

Ikuti kisah Mas Selamat=MS=Michael Scofield?

"Mas Selamat dilahirkan pada 23 Januari 1961 di Kendal, Jawa Tengah dan pada awal tahun 1980 dia berpindah ke Singapura dan berkahwin di sana. Dia mempunyai lima anak hasil dari perkahwinan tersebut. Mas Selamat dipercayai menganggotai pergerakan Darul Islam satu pertubuhan di bawah JI pada tahun 1990-an. Pada 1992 dia dihantar ke Afghanistan untuk menjalani latihan selama setahun. Pada tahun 1998 dia mempelajari sistem kerajaan Taliban sebelum pulang ke Singapura dengan semangat yang kental untuk memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam.

Dia dilaporkan pernah menemui pemimpin tertinggi JI, Hambali dan membincangkan pelbagai rancangan untuk melancarkan serangan termasuklah merampas sebuah kapal terbang di Bangkok sebelum menghempaskan pesawat tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Mas Selamat berjaya melarikan diri dari Singapura pada 2001 sebelum pihak berkuasa melancarkan penangkapan besar-besaran dengan menahan 13 anggota JI pada Disember 2001.

Bagaimanapun Mas Selamat berjaya ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia bagi membantu siasatan beberapa peristiwa pengeboman pada 2001 dan 2002. Dia telah menukar identiti dengan menggunakan nama Edy Heriyanto.

Ketika dipenjarakan dia telah mendapat kecederaan yang mengakibatkan kakinya tempang selepas melompat dari bangunan tinggi ketika cuba melarikan diri. Dia kemudiannya dibebaskan pada 2005.

Bagaimanapun dia sekali lagi ditahan pada 20 Januari 2006 di Indonesia ketika melawat anaknya di sebuah sekolah agama. Singapura kemudiannya meminta supaya Mas Selamat diekstradisi dan dia kemudiannya diletakkan di bawah tahanan ISA.

Bagaimanapun berita penangkapan Mas Selamat ini pastinya tidak akan terhenti begitu sahaja. Seluruh dunia masih lagi ingat tentang peristiwa bagaimana dia melarikan diri dari Pusat Tahanan Jalan Whitley yang terkenal dengan kawalan maksimum di Singapura.

Ketika kejadian itu kira-kira 4.05 petang, 27 Februari 2008, dia yang ditahan di pusat tahanan tersebut sejak Februari 2006 telah melarikan diri melalui tingkap bilik air ketika dibawa ke sebuah bilik untuk bertemu dengan ahli keluarganya yang melawatnya ketika itu.

Berenang

Adalah menghairankan Mas Selamat walaupun tempang kakinya telah dapat melarikan diri dari pusat tahanan yang terkenal dengan kawalan ketat.

Dia kemudiannya didakwa berenang dari Woodlands, Singapura dan telah pergi ke Ulu Tiram mencari Abdul Matin dan Johar Hassan yang menginap di sebuah kawasan perkampungan di Skudai yang dipercayai merupakan seorang anggota biasa JI.

Selepas berita Mas Selamat berjaya melarikan diri disedari pihak berkuasa Singapura terdiri dari Polis Singapura, Kontinjen Gurkha, Polis Unit Taktikal dan beberapa unit lagi menggerakkan usaha mencari di kawasan berhampiran pusat tahanan. Unit ini kemudiannya dibantu tentera Singapura yang bertindak mencari Mas Selamat di seluruh negara itu. Bagaimanapun operasi tersebut gagal mencari Mas Selamat yang didakwa bertindak bersendirian tanpa membawa sebarang senjata."

Utusan Malaysia 10/05/2009

Baca Selanjutnya. Klik

[+/-] Baca Lagi

Thursday, May 7, 2009

A Tribute To Perak State Assembly Chaos

gambar http:mstar.com.my

"Begitu juga hendaknya kita yang ingin memperjuangkan Dakwah ini diatas Jalan yang sahih. Mengetahui hakikat dan sebab kemunduran umat Islam adalah prasyarat bagi mengetahui fasa-fasa yang bakal kita lalui. Tidak mungkin kita boleh menjadi wakil rakyat dan menteri yang memimpin sebelum kita menjadi hamba-hamba Allah swt yang terpimpin. Jika sebahagian manusia berhujah usaha sudah berjaya dengan menduduki parlimen semata-mata, itu hanya pencapaian memegang tampuk kekuasaan sementara dan bukan pencapaian Daulah sejati yang diidamkan."

Sedikit sedutan daripada satu artikel yang menarik untuk dihadam. Klik di sini.

Nasib Muslim kini

[+/-] Baca Lagi

Tuesday, May 5, 2009

5 sasterawan negara tolak PPSMI


Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolaknya.

Mereka menyatakan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan dalam sidang media di Rumah PENA pagi ini.

Dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".

Tiga lagi Sasterawan Negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.

Awal Mac lalu, A Samad mengejutkan dunia sastera Melayu dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.

Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, terbaru Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S Othman Kelantan pada 2003.

Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai sasterawan negara ke-10.

Empat yang telah meninggal dunia: Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Datuk Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Syed Othman.

Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Noordin yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.

Berita dipetik daripada Malaysia Kini.

*Saya berminat untuk mengulas sedikit isu PPMSI ini, tetapi mungkin selepas peperiksaan Farmakologi yang akan bermula pada 11 Mei ini. Doakan kami.

Catatan:
1. 1981 : Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas
2. 1982 : Shahnon Ahmad
3. 1983 : Datuk Dr. Usman Awang
4. 1986 : Datuk A. Samad Said
5. 1988 : Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau Arena Wati
6. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
7. 1993 : Datuk Noordin Hasan
8. 1996 : Datuk Abdullah Hussain
9. 2001 : S. Othman Kelantan

Sumber gambar: http://annyss.blogspot.com

[+/-] Baca Lagi

Monday, April 27, 2009

Idola

Baru-baru ini Anugerah Bintang Paling Popular dimenangi oleh Nabil Raja Lawak. Beliau berjaya menawan hati rakyat Malaysia dengan lawaknya yang tidak kering gusi dan bersahaja. Sebaik sahaja nama Nabil diumumkan, para peminatnya menjerit-jerit melaung-laung idola mereka. Mereka sangat gembira atas kemenangan idola mereka. Sebelum ini, anugerah tersebut pernah dimenangi oleh artis-artis seperti Mawi, Siti Nurhaliza, Saiful Apek dan lain-lain. Semua nama tersebut mempunyai peminat tersendiri dan dijadikan idola oleh peminat mereka. Kini, siapa yang tidak kenal nama-nama tersebut memang sangat pelik.

Namun, kenalkah anda dengan Mus'ab bin Umayr? Beliau juga ialah seorang selebriti dan idola tetapi pada zaman Mekah dahulu. Kini, beliau masih lagi selebriti dan sepatutnya dijadikan idola oleh remaja Muslim kini.

Before he entered Islam, Mus`ab was truly the hippest, coolest, most handsome young man in all of Makkah. Preoccupied with his worldly existence, Mus`ab made full use of the family wealth at his disposal for the latest in perfumes, clothing and shoes.

Given the time period and location we are referring to, sometime in early 7th century Arabia, it is remarkable that a young man exerted so much energy in being down with the latest trends. If there was a popularity contest in Makkah, Mus`ab would be the winner without a doubt.


Siapakah beliau? Bagaimanakah kehidupan beliau? Kenapa beliau perlu dijadikan idola? Anda boleh baca lanjut di sini.

Bagaimana untuk memilih idola? Anda boleh baca di sini.

[+/-] Baca Lagi

Sunday, April 26, 2009

Pemimpin

Serius, saya risau apabila DS Najib Tun Razak naik sebagai PM Malaysia ke-6. Imej beliau di mata saya sudah dipengaruhi oleh pelbagai kisah yang tidak baik. Cuma kisah-kisah itu masih samar dan tidak diketahui kesahihannya.

Namun begitu beliau masih Muslim dan mengamalkan Islam. Saya berdoa semoga beliau diberikan hidayah sepanjang pemerintahan agar memerintah dengan penuh keadilan dan kesaksamaan. (Klik)

Cuma kini sukar untuk mencari pemimpin yang benar-benar menghayati Islam dalam kehidupannya; pemimpin yang menghayati sunnah Rasulullah s.a.w., pemimpin paling ideal di dunia; pemimpin yang dapat memacu umat Islam atas jalan yang diredai Allah dan RasulNya. Jikalau ada hanya sedikit dan boleh dikira.

Pemimpin kini ramai yang korup dan mengecewakan rakyat.

Hakikatnya, pemimpin-pemimpin kini akan pergi, dan bakal digantikan dengan pemimpin-pemimpin baru. Pemimpin-pemimpin baru itu semuanya masih pemuda kini, sedang menuntut di universiti-universiti, sekolah-sekolah, malah ada yang sedang merempit, menghisap ganja dan sebagainya. Rupa wajah kepemimpinan masa hadapan ialah pemuda-pemuda kini. Maka, untuk membentuk pemimpin yang Muslim dan Mukmin, tidak korup, tidak mengecewakan rakyat, tidak fasik, pembentukan perlu dilakukan pada pemuda kini.

Andai pemuda kini dibentuk dengan suasana hedonisme, maka pada masa hadapan akan berlambaklah konsert-konsert, akademi-akademi dan segala-gala perkara yang kononnya demi memperjuangkan industri seni negara. (Patriotisme sungguh)

Andai pemuda kini dibentuk dengan suasana rabbani, maka dengan keizinan Allah, masa hadapan untuk Islam amatlah cerah.

Dan perjuangan untuk memenangkan Islam bukanlah sesuatu yang perlu tergesa-gesa dan tergopoh-gapah. Kita harus berusaha untuk mempercepat kemenangan Islam, tetapi bangunan kemenangan yang hendak dibina bukanlah bangunan yang rapuh, tidak seimbang dan mudah roboh. Asas harus dibina dengan kukuh.

Lihatlah contoh-contoh kerajaan yang cepat runtuh kerana asas yang kurang kukuh, apabila dicocok dengan ugutan dan wang maka rakyat dikecewakan; malah ada yang rakyat mengecewakan kerajaan.

Mungkin, kita hanya sempat membina asasnya, kemenangannya ialah nanti ketika zaman anak-anak kita.

P.S. Mari baca persoalan sahabat saya.

[+/-] Baca Lagi

Tuesday, April 21, 2009

Musim Mengawan Manusia?

Kenapa perkara ini berlaku? Apakah penyelesaiannya?

Bahana nafsu
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my


SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah.

Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah.

Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku.

Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day).

Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi.

Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.

Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks.

Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.
Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.

“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.

“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.

“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.

Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.

Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.

“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.

“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.

Berita Selanjutnya

[+/-] Baca Lagi