Showing posts with label Pendapat. Show all posts
Showing posts with label Pendapat. Show all posts

Friday, June 5, 2009

Arranged


(Ketika saya menonton filem ini, Obama sedang berada di Mesir sempena siri lawatan beliau ke negara-negara Islam di Timur Tengah.)

Filem ini memaparkan interaksi antara pelbagai bangsa yang hidup di Amerika Syarikat, terutamanya dua bangsa yang bergolak iaitu Islam dan Yahudi. Justeru, filem ini mengisahkan persahabatan yang terjalin antara dua wanita yang masing-masing daripada bangsa tersebut. Mereka ialah Rochel Meshenberg(Zoe Lister Jones)-seorang Yahudi Ortodoks dan Nasira Khaldi(Francis Benhamou)-seorang Muslim. Mereka sama-sama mengajar di sebuah sekolah UN yang muridnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Mereka juga sedang dicarikan jodoh oleh keluarga mereka dan diadakan beberapa siri pertemuan.

Mereka hidup dalam keluarga yang berpegang teguh pada agama masing-masing. Suasana dan hubungan baik antara mereka dengan keluarga masing-masing membina diri mereka menjadi remaja yang baik dalam beragama dan terjaga daripada gejala sosial yang merebak teruk di Amerika Syarikat. Namun , Rochel hampir terjebak apabila ada krisis antara dia dan keluarganya. Mujur pendidikan sejak kecil telah membentuk jatidiri yang kuat, akhirnya dia sendiri yang memilih untuk tidak menjebakkan diri ke dalam kancah gejala sosial.

Saya mengetahui kewujudan filem ini apabila membaca ulasan saudara Faisal Tehrani dalam blog beliau. Pelik apabila mendapat tahu penulis filem ini bukanlah seorang Islam, tetapi berjaya menggambarkan Islam dengan benar dan tidak prejudis. Malang dan menyedihkan apabila ada Muslim yang membodohkan diri menghina,memburukkan dan mencipta salah faham terhadap Islam dalam filem-filem mereka.(Terbaru filem Perempuan Berkalung Sorban yang menyerapkan fahaman Islam Liberal, saya akan cuba mengulas filem itu tak lama lagi)

Wanita-wanita Liberal mendakwa memakai tudung mengongkong kebebasan wanita. Namun, pendapat itu disangkal dalam filem ini apabila Nasira menyatakan pendirian bahawa dia bertudung bukan atas dipaksa dan tidak dikongkong, tetapi atas pilihannya sendiri.

Kemodenan dan kebebasan yang diamalkan secara tidak sihat oleh generasi kini turut dipertikaikan apabila berlaku perbalahan antara Rochel dan pengetuanya. Dia mempertahankan budaya-budaya tradisional yang dikritik oleh pengetuanya. Jawapan Rochel membuatkan pengetuanya terkedu,"Why is getting drunk and sleep with a man you don't even know as a way of finding love?". Secara tidak langsung dialog ini menjawab persoalan kenapa watak-watak dalam filem ini cukup menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan(Rochel tidak bersalam dengan lelaki kerana dalam agama Yahudi juga melarang lelaki perempuan bersentuhan) dan keluarga mereka yang mengatur pencarian jodoh.

Kebetulan dengan lawatan Obama, Presiden AS ke Mesir dan apabila diteliti ucapan yang disampaikan beliau ada sedikit persamaan dengan beberapa persoalan yang diketengahkan oleh filem ini. Antaranya, krisis di Palestin antara Muslim dan Yahudi dan persepsi masyarakat Amerika terhadap Muslim.(Baca ucapan Obama di sini)

Filem ini amat baik. Banyak nilai-nilai murni yang dipaparkan dan mesej disampaikan dengan bagus dan melalui cara yang bermutu serta kreatif. Tidak perlu berfikiran sempit melakonkan babak-babak rempit dan melambakkan senario maksiat dalam filem untuk memberikan keinsafan kepada masyarakat.

Untuk ulasan yang lebih mantap berkenaan filem ini anda boleh baca di blog Faisal Tehrani. Klik.

[+/-] Baca Lagi

Saturday, May 23, 2009

PPSMI: Lebih kontra daripada pro

(Artikel ini agak panjang dan serius)

Saya tidak berkesempatan mengalami sendiri PPSMI. Tempiasnya ada, dahulu semasa SPM kertas soalan disediakan dalam dwibahasa, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Namun begitu, saya memilih untuk menjawab dalam bahasa Melayu kerana saya belajar dalam bahasa tersebut. Kini, saya meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Tiada masalah pun. Bermasalah kalau tidak bersungguh-sungguh.


Suatu hari saya melihat-lihat adik saya yang sedang mengulang kaji. Dia sedang belajar subjek sains yang kini diajar dalam Bahasa Inggeris. Sengaja saya menyoal-nyoal dengan niat untuk menguji.


Dalam buku latihannya, ada soalan dalam Bahasa Inggeris: Bryophyllum membiak guna apa? Berdasarkan bukunya, adik saya menjawab daun. Saya tanya dia, apakah 'bryophyllum'? Dia merujuk bahagian lampiran yang ada menyediakan maksud perkataan-perkataan yang sukar. Dia beritahu saya 'bryophyllum' ialah pokok setawar. Saya tanya dia apakah pokok setawar? Dia kata tak tahu. Padahal pokok itu ditanam di dalam pasu bunga di halaman rumah.


Saya lihat lagi bukunya, ada soalan tentang spring, dalam Bahasa Inggeris. Spring kenyal atau tidak? Dia jawab tidak dan disalahkan oleh gurunya. Saya kritik dia kerana soalan mudah begitu pun boleh salah.


Saya tanya kepadanya lagi, fahamkah dia apa yang diajari gurunya? Dia takut-takut nak menjawab. Dia tak faham. Saya tanya lagi, habis tu, bagaimana dia menjawab soalan-soalan dalam buku latihannya? Dia kata gurunya yang beri jawapan.


PPSMI. Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris.

Untuk mengetahui sejarah PPSMI, anda boleh merujuk sendiri di sini.

Ada yang menyokong, namun ramai yang menentang PPSMI. Masing-masing ada sebab tersendiri. Bagi pihak yang menentang, ada yang menentang kerana mempertahankan ketuanan Bahasa Melayu. Ada yang menentang sebagai isu politik. Ada yang menentang kerana kesan negatifnya.

Secara peribadi(walaupun tiada menteri yang akan menghiraukan alasan saya), saya membantah pelaksanaan PPSMI kerana saya telah melihat sendiri kesannya kepada adik-adik saya. Sekolah adik saya ialah kategori luar bandar. Mereka tidak faham apa-apa yang mereka belajar, padahal kefahaman amat penting dalam pembelajaran sains dan matematik. Guru sendiri hanya memberi jawapan dan adik-adik saya hanya menghafal jawapan.


Saya sendiri lihat sukatan pembelajaran adik-adik saya semacam sudah direndahkan tahapnya agar memudahkan pengajian mereka. Hal ini bukannya memantapkan lagi malah memundurkan. Jika ingin meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, mantapkan mata pelajaran itu sendiri, mantapkan mata pelajaran English In Science And Technology(EST).


Bangga mereka(kementerian) mengumumkan peningkatan dalam keputusan SPM 2007, khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Padahal graf keputusan boleh dinaik-turun oleh kementerian. Malahan, peningkatan keputusan bukanlah bermakna peningkatan dalam penguasaan para pelajar.


Memang kini, ukuran kecemerlangan para pelajar ialah berdasarkan angka keputusan peperiksaan. Kemajuan dan kemodenan pula diukur pada material sahaja. Hal inilah yang menyedihkan.


Kebiasaannya, para pelajar kurang minat pada mata pelajaran Bahasa Inggeris. Maka, apabila mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris, pelajar-pelajar akan hilang minat pula pada mata pelajaran tersebut.


Di luar bandar terutamanya, para pelajar kebanyakannya lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Maka, hal ini akan memberi kesan kepada prestasi mereka dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.


Bahasa Melayu juga ialah bahasa budaya. Oleh sebab itu, tindakan ini seperti melemahkan dan mengurangkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar kini, juga menyebabkan penguasaan pelajar yang rata-ratanya ialah remaja terhadap kebudayaan Melayu semakin pupus. Umum mengetahui bahawa dasar kebudayaan Melayu kebanyakannya berlandaskan agama Islam. Sejarah membuktikan bagaimana Mustafa Kemal Attaturk memansuhkan tulisan dan bahasa Arab di Turki mengakibatkan masyarakat Turki terpisah daripada Islam. Juga Tun Dr. Mahathir menukar penggunaan tulisan jawi kepada rumi menjadikannya salah satu faktor ramai kini orang Melayu yang tidak tahu membaca Al-Quran kerana tiada asas huruf Arab.


Saya sebagai bekas pelajar luar bandar, dan abang kepada pelajar luar bandar berpendapat Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris membunuh potensi, membantut kemajuan, menyukarkan kefahaman anak-anak luar bandar dalam mata pelajaran tersebut. Itu ialah alasan saya berdasarkan pengalaman.

Lihat pula reaksi dan hasil kajian akademik beberapa pihak(rujukan mswikipedia).

1. Kanak-kanak lebih cepat belajar dalam bahasa ibunda, oleh itu kanak-kanak yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris (luar bandar) akan ketinggalan berbanding kanak-kanak yang bahasa ibundanya merupakan bahasa Inggeris. Sekiranya perkara ini berlaku pada peringkat memahami konsep, ini memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut, tidak dapat mengikuti peringkat pembelajaran seterusnya dengan baik, menjadikan mereka sentiasa keciciran berbanding rakan-rakan berbahasa Inggeris mereka. (Rujuk sini)

2. Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina)
  • Kajian "Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid" mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. Kajian ini mendapati PPSMI hanya mampu menunjukkan peningkatan minimum kepada penguasaan bahasa Inggeris sebanyak empat peratus dan pada masa yang sama mengurangkan minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik. (Rujuk sini)
  • menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
3. Kajian Prof Dr Nor Hashimah Jalaludin
  • 75% pelajar setuju belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mendatangkan masalah pemahaman dan 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan Sains dan Matematik dengan berkesan.
  • Kajian sama yang dibuat ke atas guru pula mendapati 96% guru setuju pelajar semakin kurang minat dalam Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris dan 98% guru setuju pelajar mempunyai masalah memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
  • Sampel bagi kajian ini adalah seramai 971 orang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dalam aliran kebangsaan dan jenis kebangsaan di bandar dan luar bandar. Sementara bagi guru ia melibatkan 43 orang guru yang berpengalaman mengajar 1 hingga 20 tahun berumur melebihi 25 tahun pada tahun kajian dibuat. (Rujuk sini)

4. Memorandum 11 pertubuhan tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Ini sejajar dengan resolusi pendidikan yang diluluskan oleh UNESCO (1951:691) yang berbunyi:
"Berkenaan kepentingan pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di sekolah."
Kalau dalam bahasa 'PPSMI'nya:
(On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.)

5. Kebanyakan cendekiawan antaranya Prof Diraja Ungku Aziz termasuk golongan sasterawan dan budayawan menyatakan penentangan kepada dasar PPSMI. Ini termasuk kesemua Sasterawan Negara yang masih hidup di antaranya A. Samad Said dan Prof Muhammad Hj Salleh bersatu menyatakan pendirian menentang dasar PPSMI. (Rujuk sini)

6. Datuk Dr Anwar Ridhwan turut melahirkan pendapat mempertikaikan PPSMI:
"Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara," katanya dalam ucap utama di perhimpunan terbesar sasterawan muda Malaysia.

"Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal.

"Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka.

"Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini.

"Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik." (Rujuk sini)


[+/-] Baca Lagi

Saturday, May 16, 2009

Hari Guru dan Laskar Pelangi

Malaysia menyambut Hari Guru pada 16 Mei. pada hari ini pelajar-pelajar dan bekas-bekas pelajar akan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru 'kesukaan' mereka. Guru-guru yang popular akan mendapat banyak hadiah sebagai tanda mereka diingati dan dihargai. Tidak kurang ada juga guru-guru yang berasa pada hari ini kerana tidak menerima apa-apa ucapan atau hadiah, atau menerima sedikit hadiah berbanding guru-guru lain.

Oleh sebab itu, amalan menghargai guru haruslah tidak terhad kepada hari dan yang disukai sahaja. Sepatutnya, penghormatan kepada guru harus dizahirkan sentiasa. Apatah lagi menghormati guru memang dituntut dalam Islam.


Selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W., guru teragung umat Islam. Bagindalah yang telah mengajarkan umatnya tentang Islam. Bagindalah yang memimpin umatnya ke jalan Allah s.w.t.
Juga kepada para sahabat, penerus legasi Rasulullah s.a.w., tabi'in, tabi' tabi'in, dan para ulama pewaris nabi. Merekalah yang menyampaikan ajaran Rasulullah s.a.w. sehingga kita kini kenal dan tahu.

Terima kasih kepada para guru yang sentiasa ikhlas mengajar muridnya agar darjat kami naik menjadi manusia yang berilmu, mengenal Allah dan kehidupan, membezakan kebaikan dan kejahatan.


Sempena Hari Guru, ikuti sedikit ulasan saya tentang filem Laskar Pelangi.



Adapatasi karya sastera kepada filem bukan suatu yang asing bagi Indonesia. Jika sebelum ini Ayat-Ayat Cinta telah diadaptasikan, kini yang terbaru novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata. Proses adaptasi bukanlah suatu yang mudah kerana pembikin filem perlu memastikan keaslian karya tidak tercemar dengan kecurangan di samping seimbang dengan pengubahsuaian bagi selari dengan keperluan sebuah filem.

Jikalau kita lihat kebanyakan negara-negara yang maju dalam industri filemnya, kebanyakan filem-filem yang dihasilkan ialah hasil proses adaptasi.
Statistik industri filem dan TV Amerika menunjukkan 45% cerita televisyen adalah yang diadaptasi daripada novel dan 85% filem yang menang oskar adalah berdasarkan cerita yang diadaptasi daripada novel. - Utusan Malaysia, 20/05/2008.

Filem adaptasi berbanding filem hasil idea bukan adaptasi adalah lebih berwawasan, intelek, rapi dan kemas. Idea yang terhasil ialah idea para pemikir sasterawan dan ahli falsafah berlandaskan ilmu. Oleh sebab itu, filem adaptasi menjadi lebih bermutu dan bermakna.


Filem Laskar Pelangi yang diadaptasikan daripada novel Andrea Hirata ialah contoh terbaik sebuah filem adaptasi yang kemas dan menarik. Penulis secara peribadi belum berpeluang membaca sendiri novel karya Andrea Hirata tetapi penulis memuji hasil garapan sutradara Riri Riza.

Jalan cerita akarnya tiada beza dengan novelnya, kisah 10 anak dari keluarga miskin yang bersekolah di sebuah sekolah Muhammadiyah di pulau Belitong yang penuh keterbatasan(idwiki).


Tema yang menjadi tulang belakang filem ini ialah kesusahan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan, juga bukan alasan untuk berputus asa.


Bermula dengan menanam simpati dalam jiwa penonton, mereka yang mendaftar di sekolah itu hampir tidak dapat belajar di situ kerana bilangan pelajar yang mendaftar tidak mencapai sepuluh orang(bilangan minimum yang dibenarkan untuk membuka kelas). Tergambar wajah kecewa pada setiap mereka apabila mendapat tahu mereka tidak dapat belajar kerana bilangan pelajar yang tidak cukup, namun Tuhan mentakdirkan sebaliknya bagi mereka.


Berbekalkan segala kedaifan, pelajar-pelajar sekolah ini menunjukkan semangat yang luar biasa. Sehingga mereka berjaya mencapai beberapa kejayaan dan mengharumkan nama sekolah mereka yang daif dan dipandang rendah oleh mereka yang bertaraf. Akhirnya, para penduduk sekitar Belitong juga menjadi bangga akan mereka.


Setiap pelajar mempunyai keistimewaan masing-masing dan mereka sentiasa bersama dan saling membantu. Terdapat babak-babak yang membandingkan sekolah ini dengan sekolah lain menyebabkan penonton berasa kasihan dan simpati.


Sumbangan terbesar dalam kehidupan mereka sebagai pelajar tentulah guru-guru mereka. Pak Zulkarnain, Ibu Muslimah dan Pak Bakri sanggup mendidik mereka walaupun kekurangan gaji. Tatkala itu, terdapat sahaja tawaran yang lebih mewah daripada sekolah lain untuk mereka tetapi mereka terus setia dan ikhlas mendidik anak-anak itu sehingga pencapaian yang luar biasa dicapai oleh mereka. Siapakah lagi yang akan membimbing anak-anak itu jika mereka pergi ke tempat lain? Mereka sedar bahawa anak-anak itu juga berhak mendapat pendidikan seperti orang lain walaupun mereka miskin.

Bagi penulis, lakonan Alex Komang(juga berlakon dalam filem Puteri Gunung Ledang) paling digemari. Bagaimana dia melarang anaknya Lintang daripada mengikutnya ke laut, dan menyuruhnya ke sekolah untuk belajar. Dia mahu anaknya menjadi manusia yang berpendidikan dan mempunyai masa depan yang cerah. Dia tidak mahu anaknya hidup susah sepertinya. Namun, penghujung nasib Lintang amat tragis dan menyentuh hati.


Saya berpendapat filem ini berjaya dan penuh dengan moral, membangkitkan semangat dan memerli mereka yang serba cukup namun masih gagal dan tidak bersunguh-sunguh dalam pelajaran. Filem ini juga memberi kesedaran bahawa ada golongan yang tidak bernasib baik berbanding kita dan menggesa agar kita bersyukur dengan segala nikmat yang dimiliki. Kita tidak harus melupakan mereka dan sepatutnya membantu mereka. Selain itu, jasa dan kegigihan guru amatlah penting dalam membentuk generasi muda tonggak negara dan umat, tidak sepatutnya dilupakan.


Persoalannya, adakah nasib pelajar-pelajar di luar bandar kini diberi perhatian oleh kerajaan? Apakah buktinya? Bagaimana pula dengan PPSMI? Sama-sama kita fikirkan.

[+/-] Baca Lagi

Thursday, May 14, 2009

Persoalan Demi Persoalan

Seorang sahabat saya ada bersembang sedikit dengan saya. Beliau menyarankan agar cuba membangkitkan persoalan-persoalan yang memaksa pembaca berfikir. Fokus ialah tentang peranan kita sebagai muslim dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
Beliau mengatakan bahawa sekarang sudah ramai orang yang melaksanakan amar makruf. Cuma yang melaksanakan nahi mungkar hanya beberapa kerat yang boleh dikerat.

Memang benar menurut beliau. Sedikit sangat orang yang nak mencegah kemungkaran. Kenapa? Mencegah kemungkaran ialah suatu perbuatan yang akan menimbulkan benci orang lain. Kawan akan lari, musuh akan caci, kita akan dibenci. Perkara mungkar ini walaupun pelakunya tahu perbuatan itu salah, tetapi apabila nafsu telah menguasai, nikmat dan keseronokan sahaja yang ingin dipenuhi.

Kemungkaran yang berleluasa kerana tiada siapa yang mencegahnya. Si pelaku menjadi berani dan melakukan kemungkaran sewenang-wenangnya. Mereka lupa sebenarnya Allah sedang melihat, malaikat sedang mencatat.

Cuma dalam soal mencegah kemungkaran, perkara ini mestilah dilakukan seiring dengan menyeru kebaikan. Seiring.

Boleh digolongkan manusia kepada tiga golongan. 1. Golongan taat 2. Golongan separa taat separa ingkar 3. Golongan ingkar. Apabila ada program-program makruf, biasanya akan dihadiri oleh golongan 1 dan 2. Program makruf pula ada banyak di sana-sini. Maka, program nahi mungkar disasarkan kepada golongan 3 dan segelintir golongan 2.

Mungkin perlu diperbetul sedikit persepsi itu. Program makruf juga harus disasarkan kepada golongan 3, bukan sahaja mensasarkan nahi mungkar sahaja. Program makruf itu bertujuan untuk memberi pengajaran dan peringatan. Manusia akan meninggalkan maksiat apabila ada iman dalam hatinya. Dia tidak akan meninggalkan dengan hanya mencegah tanpa meletakkan iman, kalaupun dia tinggalkannya, perbuatan itu tidak akan kekal lama.

Banyak lagi yang perlu dipelajari, dikaji, dirancang, difikirkan dalam berdakwah ini.

Di sini saya senaraikan sedikit persoalan untuk diri saya dan sahabat-sahabat sekalian. Mungkin boleh dikongsikan juga dengan sahabat-sahabat yang lain.

Saya ialah seorang Muslim yang beriman kepada Allah dan RasulNya, berpegang dengan Al-Quran dan Sunnahnya.

1. Apakah saya telah patuh pada perintah Allah dan RasulNya?
2. Apakah bukti saya patuh pada perintah Allah dan RasulNya?
3. Apakah saya ada mengingkari perintahNya?
4. Bagaimanakah perasaan saya ketika mengingkariNya?
5. Adakah saya gembira ketika beribadat? Atau saya malas dan rasa berat?
6. Adakah saya benci ketika melihat maksiat? Atau saya suka? Atau saya tiada rasa apa-apa?
7. Adakah saya berusaha meningkat ibadat saya dan ibadat Muslim sekeliling saya?
8. Apakah yang perlu saya lakukan untuk meningkatkan ibadat?
9. Adakah saya berusaha mencegah kemungkaran dalam diri dan di sekeliling saya? Apakah yang perlu saya lakukan?
10. Adakah saya dan Muslim di sekeliling saya mengamalkan akhlak-akhlak Islam? Bagaimana untuk saya melaksanakannya?
11. Bagaimanakah saya menggunakan masa saya? Berapa persen daripada 24 jam saya gunakan untuk Islam?

Banyak lagi persoalan yang boleh disenaraikan untuk dijawab oleh diri-sendiri. Kaedah muhasabah menggunakan soalan ini memang cara yang bagus kerana kita mempersoalkan tindakan kita dan memaksa akal kita sentiasa berfikir untuk mencari jawapan dan jalan penyelesaian.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang soleh dan muslih. Moga kita dapat sama-sama bina suasana kebangkitan.


[+/-] Baca Lagi

Sunday, April 26, 2009

Pemimpin

Serius, saya risau apabila DS Najib Tun Razak naik sebagai PM Malaysia ke-6. Imej beliau di mata saya sudah dipengaruhi oleh pelbagai kisah yang tidak baik. Cuma kisah-kisah itu masih samar dan tidak diketahui kesahihannya.

Namun begitu beliau masih Muslim dan mengamalkan Islam. Saya berdoa semoga beliau diberikan hidayah sepanjang pemerintahan agar memerintah dengan penuh keadilan dan kesaksamaan. (Klik)

Cuma kini sukar untuk mencari pemimpin yang benar-benar menghayati Islam dalam kehidupannya; pemimpin yang menghayati sunnah Rasulullah s.a.w., pemimpin paling ideal di dunia; pemimpin yang dapat memacu umat Islam atas jalan yang diredai Allah dan RasulNya. Jikalau ada hanya sedikit dan boleh dikira.

Pemimpin kini ramai yang korup dan mengecewakan rakyat.

Hakikatnya, pemimpin-pemimpin kini akan pergi, dan bakal digantikan dengan pemimpin-pemimpin baru. Pemimpin-pemimpin baru itu semuanya masih pemuda kini, sedang menuntut di universiti-universiti, sekolah-sekolah, malah ada yang sedang merempit, menghisap ganja dan sebagainya. Rupa wajah kepemimpinan masa hadapan ialah pemuda-pemuda kini. Maka, untuk membentuk pemimpin yang Muslim dan Mukmin, tidak korup, tidak mengecewakan rakyat, tidak fasik, pembentukan perlu dilakukan pada pemuda kini.

Andai pemuda kini dibentuk dengan suasana hedonisme, maka pada masa hadapan akan berlambaklah konsert-konsert, akademi-akademi dan segala-gala perkara yang kononnya demi memperjuangkan industri seni negara. (Patriotisme sungguh)

Andai pemuda kini dibentuk dengan suasana rabbani, maka dengan keizinan Allah, masa hadapan untuk Islam amatlah cerah.

Dan perjuangan untuk memenangkan Islam bukanlah sesuatu yang perlu tergesa-gesa dan tergopoh-gapah. Kita harus berusaha untuk mempercepat kemenangan Islam, tetapi bangunan kemenangan yang hendak dibina bukanlah bangunan yang rapuh, tidak seimbang dan mudah roboh. Asas harus dibina dengan kukuh.

Lihatlah contoh-contoh kerajaan yang cepat runtuh kerana asas yang kurang kukuh, apabila dicocok dengan ugutan dan wang maka rakyat dikecewakan; malah ada yang rakyat mengecewakan kerajaan.

Mungkin, kita hanya sempat membina asasnya, kemenangannya ialah nanti ketika zaman anak-anak kita.

P.S. Mari baca persoalan sahabat saya.

[+/-] Baca Lagi

Wednesday, April 22, 2009

Persoalan sepanjang isu

Bercakap lebih senang daripada buat. Cakap, cakap dan cakap.
Pelbagai isu yang berlaku baru-baru ini memeningkan dan memenatkan. Saya bukanlah orang yang arif dalam isu tersebut(taadud jamaah dll). Malah, ilmu pun tak sampai ke tahap untuk layak memberikan pendapat. Cuma sebagai manusia, ada sedikit persoalan dalam minda yang perlu dikhabarkan.

1. Ada segelintir saudara yang mengatakan kewujudan beberapa jamaah ini melambatkan kemenangan Islam. Isu taadud ini memang kalau dibincangkan takkan habis sebab ulama yang hebat pun khilaf tentang hal ini. Pendapat saya, perdebatan tentang isu inilah yang melambatkan kemenangan Islam sebab telah mencuri banyak masa untuk beramal. Rasa-rasanya sahabat-sahabat kita yang tidak bernasib baik di luar sana, yang mengucap pun tak tahu, solat pun tidak, akan selamat ke apabila melihat perdebatan hebat siap hujah dan dalil Al-Quran itu? (Klik sini dan sini) Islam Liberal dapat ditangkis ke? (Klik sini) Dan banyak lagi... Bukankah baik masing-masing terus beramal dalam persatuan masing-masing tanpa perlu menuding jari kepada orang lain. Dan bagaimanakah bentuk amal? Betulkah aku sudah beramal? Persoalan untuk diri. (Baca kisah mualaf yang dimarahi kerana menegur rakan senior Muslimnya)

2. Tuduh-menuduh, tahan-menahan yang berlaku bagaikan pertarungan antara dua gajah yang mengorbankan pelanduk di tengah. Kadangkala nampak ada percikan bunga api akibat pergeseran tersebut. Masing-masing mencari silap yang memang akan ada sebab yang memimpin dan bergerak dalam jemaah/persatuan itu ialah manusia.

3. Sebijak mana, setinggi mana ilmu, masing-masing ialah manusia yang mempunyai hati. Segala perkara bermula daripada hati. (Rujuk hadis ke-6 Hadis 40 Imam Nawawi). Hati punca segala-gala yang baik atau buruk. Suka, benci, hasad, tamak, kedekut, pemurah, lapang dada, berani dan lain-lain semuanya bermula daripada hati. Hati yang baik, produknya baik. Hati yang buruk, produknya buruk. Peranan masing-masing ialah membersihkan hati sendiri di samping berusaha membersihkan hati orang lain. Maka, dunia akan aman.

4. Ya Allah golongkan kami dalam golongan yang beriman, beramal dan bertaqwa. Jadikanlah kami sebab bagi manusia lain kembali kepadaMu, jangan jadikan kami sebab untuk manusia lari daripadaMu.

Terima kasih kepada semua terutamanya sahabat-sahabat dan ikhwah-ikhwah yang banyak memberi peringatan dan menyedarkan saya. (Klik sini dan sini)














*Mereka memerlukan doktor/jurutera/ustaz/ulama/guru dll. muslim yang soleh dan menyolehkan.

[+/-] Baca Lagi