Hari Guru dan Laskar Pelangi
Malaysia menyambut Hari Guru pada 16 Mei. pada hari ini pelajar-pelajar dan bekas-bekas pelajar akan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru 'kesukaan' mereka. Guru-guru yang popular akan mendapat banyak hadiah sebagai tanda mereka diingati dan dihargai. Tidak kurang ada juga guru-guru yang berasa pada hari ini kerana tidak menerima apa-apa ucapan atau hadiah, atau menerima sedikit hadiah berbanding guru-guru lain.
Oleh sebab itu, amalan menghargai guru haruslah tidak terhad kepada hari dan yang disukai sahaja. Sepatutnya, penghormatan kepada guru harus dizahirkan sentiasa. Apatah lagi menghormati guru memang dituntut dalam Islam.
Selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W., guru teragung umat Islam. Bagindalah yang telah mengajarkan umatnya tentang Islam. Bagindalah yang memimpin umatnya ke jalan Allah s.w.t. Juga kepada para sahabat, penerus legasi Rasulullah s.a.w., tabi'in, tabi' tabi'in, dan para ulama pewaris nabi. Merekalah yang menyampaikan ajaran Rasulullah s.a.w. sehingga kita kini kenal dan tahu.
Terima kasih kepada para guru yang sentiasa ikhlas mengajar muridnya agar darjat kami naik menjadi manusia yang berilmu, mengenal Allah dan kehidupan, membezakan kebaikan dan kejahatan.
Sempena Hari Guru, ikuti sedikit ulasan saya tentang filem Laskar Pelangi.
Adapatasi karya sastera kepada filem bukan suatu yang asing bagi Indonesia. Jika sebelum ini Ayat-Ayat Cinta telah diadaptasikan, kini yang terbaru novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata. Proses adaptasi bukanlah suatu yang mudah kerana pembikin filem perlu memastikan keaslian karya tidak tercemar dengan kecurangan di samping seimbang dengan pengubahsuaian bagi selari dengan keperluan sebuah filem.
Jikalau kita lihat kebanyakan negara-negara yang maju dalam industri filemnya, kebanyakan filem-filem yang dihasilkan ialah hasil proses adaptasi. Statistik industri filem dan TV Amerika menunjukkan 45% cerita televisyen adalah yang diadaptasi daripada novel dan 85% filem yang menang oskar adalah berdasarkan cerita yang diadaptasi daripada novel. - Utusan Malaysia, 20/05/2008.
Filem adaptasi berbanding filem hasil idea bukan adaptasi adalah lebih berwawasan, intelek, rapi dan kemas. Idea yang terhasil ialah idea para pemikir sasterawan dan ahli falsafah berlandaskan ilmu. Oleh sebab itu, filem adaptasi menjadi lebih bermutu dan bermakna.
Filem Laskar Pelangi yang diadaptasikan daripada novel Andrea Hirata ialah contoh terbaik sebuah filem adaptasi yang kemas dan menarik. Penulis secara peribadi belum berpeluang membaca sendiri novel karya Andrea Hirata tetapi penulis memuji hasil garapan sutradara Riri Riza.
Jalan cerita akarnya tiada beza dengan novelnya, kisah 10 anak dari keluarga miskin yang bersekolah di sebuah sekolah Muhammadiyah di pulau Belitong yang penuh keterbatasan(idwiki).
Tema yang menjadi tulang belakang filem ini ialah kesusahan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan, juga bukan alasan untuk berputus asa.
Bermula dengan menanam simpati dalam jiwa penonton, mereka yang mendaftar di sekolah itu hampir tidak dapat belajar di situ kerana bilangan pelajar yang mendaftar tidak mencapai sepuluh orang(bilangan minimum yang dibenarkan untuk membuka kelas). Tergambar wajah kecewa pada setiap mereka apabila mendapat tahu mereka tidak dapat belajar kerana bilangan pelajar yang tidak cukup, namun Tuhan mentakdirkan sebaliknya bagi mereka.
Berbekalkan segala kedaifan, pelajar-pelajar sekolah ini menunjukkan semangat yang luar biasa. Sehingga mereka berjaya mencapai beberapa kejayaan dan mengharumkan nama sekolah mereka yang daif dan dipandang rendah oleh mereka yang bertaraf. Akhirnya, para penduduk sekitar Belitong juga menjadi bangga akan mereka.
Setiap pelajar mempunyai keistimewaan masing-masing dan mereka sentiasa bersama dan saling membantu. Terdapat babak-babak yang membandingkan sekolah ini dengan sekolah lain menyebabkan penonton berasa kasihan dan simpati.
Sumbangan terbesar dalam kehidupan mereka sebagai pelajar tentulah guru-guru mereka. Pak Zulkarnain, Ibu Muslimah dan Pak Bakri sanggup mendidik mereka walaupun kekurangan gaji. Tatkala itu, terdapat sahaja tawaran yang lebih mewah daripada sekolah lain untuk mereka tetapi mereka terus setia dan ikhlas mendidik anak-anak itu sehingga pencapaian yang luar biasa dicapai oleh mereka. Siapakah lagi yang akan membimbing anak-anak itu jika mereka pergi ke tempat lain? Mereka sedar bahawa anak-anak itu juga berhak mendapat pendidikan seperti orang lain walaupun mereka miskin.
Bagi penulis, lakonan Alex Komang(juga berlakon dalam filem Puteri Gunung Ledang) paling digemari. Bagaimana dia melarang anaknya Lintang daripada mengikutnya ke laut, dan menyuruhnya ke sekolah untuk belajar. Dia mahu anaknya menjadi manusia yang berpendidikan dan mempunyai masa depan yang cerah. Dia tidak mahu anaknya hidup susah sepertinya. Namun, penghujung nasib Lintang amat tragis dan menyentuh hati.
Saya berpendapat filem ini berjaya dan penuh dengan moral, membangkitkan semangat dan memerli mereka yang serba cukup namun masih gagal dan tidak bersunguh-sunguh dalam pelajaran. Filem ini juga memberi kesedaran bahawa ada golongan yang tidak bernasib baik berbanding kita dan menggesa agar kita bersyukur dengan segala nikmat yang dimiliki. Kita tidak harus melupakan mereka dan sepatutnya membantu mereka. Selain itu, jasa dan kegigihan guru amatlah penting dalam membentuk generasi muda tonggak negara dan umat, tidak sepatutnya dilupakan.
Persoalannya, adakah nasib pelajar-pelajar di luar bandar kini diberi perhatian oleh kerajaan? Apakah buktinya? Bagaimana pula dengan PPSMI? Sama-sama kita fikirkan.
2 comments:
Salam ukhwah....
Ulasan ini menceritakan sipnosis ringkas Laskar pelangi... menarik.. dan saya ni jenis tak reti nak buat sipnosis.. mungkin itu sebab karangan sipnosis masa saya belajar sekolah paling susah nak disiapkan... hehe... betul Laskar pelangi memang indah dan penuh wawasan.... dari pelabagai sudut... lihat cara bertudung...zaman itu tudung masih dalam keadaan sederhana.. tapi pemakainya IKHLAS... lihat pula dasar sekolahnya... menilai dengan hati keimanan bukan dengan nombor - nombor kejayaan... uhuh.. panjang pulak saya nih.. maaf.. terima kasih melawat blog saya yang tah pape tu... heheh
p/s Lebih menarik saudara kaitkan dengan situasi di Malaysia supaya tidak hanya mensipnosis semata - mata...
salam ukhwah
Jumpe kat laman web ni utk dowload filem ni
http://www.mediafire.com/?sharekey=f6bc27e6c332cf717069484bded33bcd31b17d59fe261678
saiz fail lebih kurg 500MB dalam 5 bahagian
Tak sempat lg nak tgk..tunggu la lps exam..nk harap baca buku, ntah bile la. Dah ada filem, tgk je la..
Masih lagi menanti ulasan PPSMI..
Post a Comment