Sunday, May 31, 2009

Pemuda(Remaja)

(Buat diri yang sering lalai dan leka)

Pemuda ialah aset penting dalam pembentukan bangsa. Golongan senior sesebuah bangsa akan pergi dan digantikan oleh pemuda-pemuda pada zaman itu.

Kita dapat lihat betapa penting peranan pemuda dan masa muda, sehinggakan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Kita sebagai pemuda harus sedar peranan kita dalam menentukan masa depan umat. Kita juga harus sedar akan situasi rakan-rakan pemuda kita di sekeliling kerana mereka juga masa depan umat. Baik atau buruk masa depan umat ini ditentukan oleh situasi para pemuda.

Kini, kebanyakan pemuda hidup terumbang-ambing tanpa matlamat dan hala tuju. Persoalannya, adakah kita sedar apa matlamat, tanggungjawab dan peranan kita sebagai pemuda Islam? Adakah kita telah bertindak dan melandaskan kehidupan kita selari dengan kriteria itu?

Pemuda-pemuda contoh:

1.Rasulullah s.a.w. pernah menghantar Usamah Bin Zaid r.a. sebagai pemimpin tentera ke Rom. Ketika itu beliau berumur dalam 18-20 tahun.

2. Sayyidina Ali Bin Abu Talib r.a. menggantikan Rasulullah s.a.w. di tempat tidur baginda pada peristiwa hijrah ke Madinah. Ketika itu Sayyidina Ali berumur dalam 24 tahun.

3. 29 Mei 1453, 546 tahun dulu, Sultan Muhammad Al-Fatih berjaya membebaskan Kota Konstantinopel. Ketika itu baginda baru berumur 21 tahun. (Baca lanjut di sini)

4. Imam Al-Banna mengasaskan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1928. Ketika itu beliau baru berumur 22 tahun. Beliau juga sering menyeru kepada pembentukan pemuda dan menekankan kepentingan pemuda.

Imam Al-Banna mencirikan sifat-sifat yang dimiliki para pemuda:
1. Keimanan - asas keimanan ialah hati yang bersih.

2. Keikhlasan - asas keikhlasan ialah jiwa yang suci.

3. Semangat - asas semangat ialah keinginan yang kuat.

4. Usaha - asas usaha ialah keazaman yang membara.

"Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa para pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panjinya.

Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi:13)


"Dengan ini bermakna kewajipan kamu banyak, tanggungjawab kamu berat dan terlalu banyak hak bangsa kamu yang perlu kamu tunaikan. Ini bermakna amanah yang kamu pikul adalah berat. Kamu perlu berfikir semasak-masaknya, kamu perlu berusaha lebih,kamu perlu menentukan pendirian kamu, kamu perlu mara sebagai penyelamat. Kamu perlu tunaikan segala hak ummah dengan segala keistimewaan yang kamu miliki sebagai pemuda." - Risalah Ila As-Syabab
Apakah peranan kita sebagai pemuda?
Peranan kita sebagai pemuda adalah besar, berat dan banyak. Peranan kita sebagai pemuda Muslim ialah memikul risalah Islam ini. Bebanan risalah itu berada di atas bahu-bahu kita. Kita ialah pendokong kebangkitan Islam. Kita juga harus "memberi dan menunjukkan kepada manusia dan seluruhnya akan agama yang benar ini"-Ke Arah Pembinaan Generasi Muslim: Mustafa Masyhur.

Apakah yang perlu kita lakukan?
Antaranya ialah menurut Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam buku beliau Kewajipan Remaja Muslim Hari Ini:
1. Kewajipan memahami Islam secara sahih.
2. Kewajipan beramal dengan Islam.
3. Kewajipan berdakwah kepada Islam.
4. Kewajipan bersatu atas Islam.
(Anda boleh baca huraian lanjut dalam buku tersebut)

Di atas ialah antara peranan utama. Selain itu, Ustaz Mustafa Masyhur turut menggariskan beberapa peranan. Antaranya ialah:
"Perbaiki dirimu dan serulah orang lain".

Apakah cabaran kita sebagai pemuda?

Abdullah Nasih Ulwan menggariskan cabaran pemuda muslim ialah:
1. Cabaran syaitan dan hawa nafsu.
2. Cabaran serangan pemikiran.
3. Cabaran keruntuhan akhlak, adat kebiasaan, berbentuk kejiwaan, luaran, sebaran am, dan undang-undang.
4. Cabaran kerajaan sekular.
5. Cabaran putus asa dalam kerja Islam.
(Anda boleh baca huraian lanjut dalam buku beliau Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini. Download)

Apakah yang perlu saya lakukan sekarang?
Matlamat yang besar tidak akan tercapai tanpa persiapan. Kita sebagai pemuda, di masa muda ini harus fikirkan dan bertindak, bagaimana untuk bersiap sedia. Kita harus fikirkan bagaimana untuk memulakan langkahan yang pertama. Adakah kita melangkah secara membabi-buta? Adakah kita perlu terus terjun ke kedai-kedai kopi, atau terus naik pentas untuk berceramah? Adakah kita perlu terus tumpukan dakwah dan meninggalkan bidang yang kita ceburi kini? Bagaimanakah persiapan yang diperlukan?

Segala-galanya bermula daripada diri kita. Kita harus bermula dengan membentuk diri dengan acuan Islam. Pendidikan jiwa ataupun tarbiah. Ilmu dan praktikal.

Kehidupan pemuda pada zaman ini bagaikan penagih dadah yang ketagihan dadah. Dadah bagi pemuda ialah cabaran-cabaran di atas. Untuk memulihkan penagih dadah daripada ketagihannya kita perlu memasukkannya ke pusat-pusat pemulihan.

Begitu juga pemuda-pemuda kini. Kita sebagai pemuda harus sentiasa mencari pusat-pusat pemulihan jiwa bagi memulihkan jiwa dan iman kita sebagai persiapan untuk melaksanakan amanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. Kita harus ada keterikatan dengan mana-mana kumpulan pembentukan jiwa agar proses pembentukan akan berjalan dan berterusan. Malah, dengan keterikatan itu kita dapat disusun oleh organisasi itu dalam medan dakwah dengan lebih sistematik dan berkesan.

Maka, seruan saya kepada diri dan para pembaca, bersedialah untuk mengubah diri. Mari kita sama-sama membentuk diri kita sebagai persediaan untuk menyeru pemuda-pemuda lain atau manusia-manusia lain kepada Islam. Langkah pertamanya ialah pembentukan iman melalui penyertaan dengan mana-mana kumpulan pembentukan jiwa dan sahsiah atau kumpulan tarbiah atau usrah atau halaqah dll. Pastikan diri ada keterikatan dengan kumpulan-kumpulan ini kerana "sesungguhnya anjing serigala memakan kambing yang bersendirian".


0 comments: